Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KONFLIK PERANG SAUDARA DI YAMAN

Yaman kekurangan ubat, bekalan sukar didapat ekoran perang berlanjutan

Jan 25, 2023 | 05:30 AM



SANAA (Yaman): Encik Ali Jabri memeluk anaknya Ayoub yang menangis sebelum menjalani rawatan kemoterapi di hospital barah terbesar Yaman di ibu kota Sanaa, sedang perang saudara selama lapan tahun di negara itu telah menyebabkan kekurangan ubat dan peralatan yang boleh menyelamatkan nyawa.



Kanak-kanak berusia 12 tahun itu adalah salah seorang daripada 81,000 pesakit dari serata negara yang berdaftar dengan Pusat Onkologi Kebangsaan (NOC) untuk mendapatkan rawatan percuma, yang semakin terbatas dengan kemerosotan dana dan sekatan ke atas kemasukan barangan ke negara yang bergantung kepada import itu.



"Keadaan dia semakin teruk," kata Encik Jabri sambil menangis di tepi katil tempat Ayoub, yang memulakan rawatan bagi barah leher tiga tahun lalu.



"Hospital memberi ubat yang mereka ada tetapi bagi ubat mahal kami perlu pergi membelinya sendiri di luar ... kami tidak mampu membeli ubat ini," kata Encik Jabri sambil merayu bantuan daripada orang ramai untuk menghantar anaknya ke luar negara untuk mendapatkan rawatan.



NOC di Sanaa dibiayai pihak berkuasa Houthi di Yaman Utara.



Sebaliknya, pemerintah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa pula membiayai dua pusat barah di kawasan selatan negara itu - tempat ia berpangkalan selepas digulingkan pihak Houthi dari Sanaa pada 2014.



Encik Jabri, bapa kepada enam anak, mencari nafkah sebagai petani di wilayah barat Hodeidah dan dapat membawa anaknya ke Sanaa hasil bantuan Yayasan Al Shafaqa yang menyediakan rumah dan makanan kepada mereka semasa rawatan.



Yayasan itu dibiayai badan amal tempatan, pihak negara Teluk dan antarabangsa serta perniagaan tempatan.



Konflik antara satu gabungan tentera pimpinan Arab Saudi yang campur tangan di Yaman menentang Houthi pada 2015 telah memusnahkan ekonomi dan perkhidmatan asas termasuk penjagaan kesihatan dan menyebabkan 80 peratus penduduk memerlukan bantuan.



Rizab pertukaran asing yang semakin berkurangan serta sekatan laut dan udara oleh pihak gabungan tentera tersebut di kawasan yang dikuasai Houthi turut menghalang import.



Encik Ali al-Mansour, timbalan pengarah NOC, berkata pusat itu telah menerima antara 6,000-6,500 pesakit baru baru setiap tahun sejak 2015 berbanding kira-kira 4,000 pada 2014 - dengan peningkatan sebahagiannya disebabkan oleh kurangnya pesakit yang mampu mendapatkan rawatan di luar negara.



Beliau berkata pusat itu menyenaraikan kira-kira 130 ubat barah sebagai penting tetapi hanya sekitar 50 peratus sahaja yang boleh didapatkan pihaknya.



"Banyak pembekal enggan mengemukakan bidaan ubat kerana proses pengangkutan yang panjang dan risiko serta kos pengangkutan yang tinggi," terangnya.



Unit radioterapi NOC mempunyai dua mesin, satu daripadanya tidak lagi berfungsi.



Pesakit, Encik Belal Abdulaziz, berkata beliau kadangkala terpaksa menghabiskan sepanjang hari menunggu sesi lima minitnya.



"Saya hairan mengapa saya perlu menunggu sepanjang hari semasa saya sakit?" katanya.



Pihak Houthi menyalahkan gabungan pimpinan Saudi itu serta sekatan laut dan udara atas kekurangan bekalan perubatan dan lain-lain seperti bahan api.



Pada masa sama, pihak Houthi pula menghadapi kritikan daripada pertubuhan kemanusiaan kerana menghalang pergerakan kemanusiaan.



Sementara itu, utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Yaman berkata beliau agak gembira oleh usaha yang dipergiatkan bagi satu mencapai perjanjian gencatan senjata yang diperluaskan,namun menegaskan pihak yang terbabit harus mencari proses inklusif untuk penyelesaian politik yang mampan dan berlanjutan.



Ketika berucap pada satu taklimat Majlis Keselamatan PBB lebih tiga bulan selepas satu gencatan senjata awal tamat, Encik Hans Grundberg berkata "kami menyaksikan perubahan langkah yang berpotensi" dalam trajektori konflik walaupun keadaan kekal "rumit dan fleksibel".



Konflik lapan tahun antara pakatan tentera yang diketuai Saudi dengan kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran - pihak berkuasa de facto di Yaman Utara - telah membunuh puluhan ribu orang, memusnahkan ekonomi dan menyebabkan jutaan orang dalam krisis kelaparan.



Satu perjanjian gencatan senjata yang dikendalikan PBB telah dipersetujui pada April tahun lalu dan telah dilanjutkan dua kali, mewujudkan tempoh keamanan panjang yang sebahagian besarnya bertahan sejak tamat perjanjian itu pada 2 Oktober, walaupun kedua-dua pihak kini meningkatkan perang ekonomi pula.



PBB telah menggesa bagi lanjutan perjanjian itu dan menjadi lebih luas termasuk merangkumi mekanisme untuk membayar gaji sektor awam, yang dikritik Houthi kerana tidak memasukkan anggota angkatan tenteranya.



Encik Grundberg, bercakap dari Sanaa, mengucapkan terima kasih kepada Saudi dan Oman atas diplomasi mereka dan berkata perbincangan pada Disember lalu telah mewujudkan "pilihan untuk penyelesaian yang boleh diterima secara bersama dalam isu-isu tertunggak".



Tetapi beliau menasihatkan agar tidak menggunakan "pendekatan sedikit demi sedikit" yang tertumpu kepada keperluan individu, dengan berkata perbincangan mengenai langkah jangka pendek harus menjadi sebahagian pendekatan yang lebih luas ke arah penyelesaian mampan di mana beberapa pihak bersaing untuk mendapatkan kuasa.



Utusan PBB itu berkata walaupun elemen penting gencatan awal dapat dipertahankan, masih berlaku aktiviti ketenteraan yang terhad di barisan depan dan "langkah politik dan ekonomi yang meningkat" boleh mencetuskan semula keganasan.



Perjanjian itu membenarkan beberapa penghantaran bahan api ke pelabuhan Hodeidah yang dikuasai Houthi selain penerbangan komersial dari Sanaa. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >