Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yayasan Tanoto, Yayasan Gates meterai MOU bantu masyarakat Asia kembang potensi

May 6, 2025 | 8:09 PM
Tinah Bingei Tanoto, Bill Gates, MOU
Pengasas bersama Yayasan Tanoto, Cik Tinah Bingei Tanoto, dan Pengerusi Yayasan Gates, Encik Bill Gates, ketika acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) kerjasama antara kededua yayasan itu di Sidang Puncak Kedermawanan Asia, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 6 Mei. - Foto YAYASAN TANOTO

Satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang bertujuan mengembangkan potensi insani dan membantu masyarakat maju di seluruh Asia telah ditandatangani oleh dua yayasan pada 6 Mei di Sidang Puncak Kedermawanan Asia, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.

Yayasan Tanoto dan Yayasan Gates mengumumkan melalui kerjasama itu, ia akan membina hubungan sedia ada untuk bekerjasama dalam mengenal pasti, merancang dan melaksanakan daya usaha dalam beberapa bidang di Asia.

Antaranya termasuk dalam bidang kesihatan awam dan penyaluran perkhidmatan penjagaan kesihatan; pemakanan ibu dan anak; akses kepada pendidikan bermutu; serta pengukuhan ekosistem kedermawanan dan pembangunan kapasiti di Asia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama Yayasan Tanoto dan Yayasan Gates pada 6 Mei, ahli Lembaga Pemegang Amanah bagi Yayasan Tanoto, Cik Belinda Tanoto, berkata kerjasama itu membuka peluang baru untuk perubahan sistem di Asia dan mengukuhkan program sedia ada.

“Dalam dunia yang sedang berubah dengan pantas hari ini, cabaran yang kita hadapi adalah rumit dan saling berkait – daripada jurang pembiayaan yang semakin melebar hinggalah ketidaksamaan yang kian meningkat antara golongan kaya dengan miskin.

“Melalui bekerjasama dengan organisasi yang mempunyai set minda yang serupa seperti Yayasan Gates, kita dapat memanfaatkan kekuatan bersama untuk mencetuskan perubahan yang berkekalan,” katanya.

MOU itu ditandatangani oleh Cik Tanoto; Ketua Pegawai Eksekutif untuk Yayasan Tanoto, Encik Benny Lee; dan Pengarah Negara serta Ketua Dasar dan Hubungan Pemerintah bagi Asia Selatan dan Asia Tenggara Yayasan Gates, Encik Hari Menon.

Yayasan Gates turut menekankan kepentingan kerjasama jangka panjang dalam mendorong perubahan yang bermakna.

Encik Menon berkata kerjasama dengan rakan tempatan dan serantau adalah kunci bagi mencapai kesan berkekalan.

“Kami teruja untuk memperkukuh kerjasama kami dengan Yayasan Tanoto, berlandaskan usaha penting yang telah kami laksanakan bersama, bermula dengan kerjasama dalam bidang pemakanan di Indonesia.

“Dengan menggabungkan kekuatan, rangkaian dan kepakaran serantau yang saling melengkapi, kami dapat mempercepatkan kemajuan dan membantu meningkatkan kehidupan berjuta-juta orang di seluruh Asia.”

Setiap projek di bawah kerjasama itu akan dikendalikan berdasarkan perjanjian khusus tersendiri yang akan memperincikan matlamat, ruang lingkup, bajet, peranan dan tanggungjawab kedua-dua pihak.

Perjanjian khusus bagi setiap projek tersebut juga akan mencerminkan iltizam bersama terhadap prinsip memastikan inovasi, pengetahuan dan huraian yang dibangunkan itu mampu milik dan boleh diakses oleh masyarakat paling memerlukannya.

Pengasas bersama Yayasan Tanoto, Cik Tinah Bingei Tanoto, dan Pengerusi Yayasan Gates, Encik Bill Gates, turut menghadiri pemeteraian MOU itu.

Sebelum ini, Encik Gates telah menghadiri Sidang Puncak Kedermawanan Asia pada 5 Mei serta bertemu dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; dan Encik Teo Chee Hean, ketika lawatannya ke Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg