Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zelensky temu pemimpin Eropah bincang isu perang Ukraine

Dec 19, 2024 | 12:46 PM
Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Encik Mark Rutte (kanan) bertemu dengan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky di kediaman Encik Rutte di Brussels, pada 18 Disember.
Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Encik Mark Rutte (kanan) bertemu dengan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky di kediaman Encik Rutte di Brussels, pada 18 Disember. - Foto EPA-EFE

BRUSSELS: Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, bertemu dengan ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Encik Mark Rutte dan pemimpin Eropah lain di Brussels pada 18 Disember untuk mengatur strategi perang terhadap Russia sebelum bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, kembali ke Rumah Putih.

Encik Zelensky, ketika bercakap kepada pemberita ketika bersama Encik Rutte, menyatakan pertemuan tersebut memberinya “peluang yang sangat baik untuk bercakap mengenai jaminan keselamatan Ukraine pada hari ini dan esok”.

Mereka berdua dijadual disertai pemimpin dari Jerman, Poland, Italy, Denmark, Belanda dan institusi utama Kesatuan Eropah (EU) di kediaman rasmi ketua Nato pada sebelah petangnya.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, dan Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, tidak akan menyertai sama kerana pertembungan jadual – sebaliknya menghantar menteri luar masing-masing – tetapi Encik Macron akan bertemu Encik Zelensky untuk rundingan dua hala sebelum pertemuan tersebut.

Pertemuan itu berlaku sekitar sebulan sebelum Encik Trump memulakan tugas sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Encik Trump sebelum ini berikrar mahu menamatkan segera konflik yang menurut Nato telah menyebabkan lebih sejuta orang maut dan cedera sejak pencerobohan Russia pada 2022.

Terdapat kebimbangan bahawa Encik Trump boleh menarik balik sokongan Amerika terhadap Kyiv dan memaksanya untuk bertolak ansur dengan Moscow.

Pemimpin Eropah, yang tidak ingin diketepikan, sedang giat berusaha untuk membuat rancangan mereka sendiri.

“Eropah memerlukan kedudukan yang kukuh dan bersatu untuk memastikan keamanan berkekalan,” tegas Encik Zelensky.

Pemimpin Eropah menegaskan bahawa hanya Ukraine boleh memutuskan bila ia bersedia untuk berunding dengan Russia.

Tumpuan utama pertemuan itu, kata Encik Rutte, adalah untuk memastikan Ukraine berada “dalam kedudukan terbaik apabila mereka memutuskan untuk memulakan rundingan damai”.

Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, memberitahu wartawan bahawa keutamaannya adalah untuk mendapatkan “kedaulatan Ukraine dan ia tidak akan dipaksa tunduk kepada keamanan yang ditentukan”.

Tetapi perbincangan telah bermula antara beberapa negara mengenai kemungkinan penempatan tentera Eropah ke Ukraine bagi mengusahakan perjanjian gencatan senjata pada akhirnya.

Walaupun perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat baru-baru ini antara Encik Macron dengan Perdana Menteri Poland, Encik Donald Tusk, para diplomat berkata masih terlalu awal untuk membuat cadangan konkrit.

Encik Rutte selanjutnya berkata sekutu Kyiv harus memberi tumpuan kepada meningkatkan bekalan senjata dan menggesa mereka supaya tidak membahaskan kemungkinan mencapai keamanan di khalayak ramai kerana ia berisiko diperkotak-katik oleh Moscow.

“Sekiranya kami kini mula membincangkan antara kami sendiri mengenai rangka perjanjian itu, kami menjadikannya begitu mudah untuk Russia,” katanya.

Penyokong Barat sedang berusaha mengukuhkan tentera Ukraine ketika tentera Kyiv yang keletihan kerana kehilangan kekuatan di barisan depan, dengan Moscow pula telah mengerahkan warga Korea Utara ke medan perang.

Encik Zelensky – yang juga akan menghadiri sidang puncak EU pada 19 Disember – berkata beliau mahu membincangkan “bagaimana untuk segera mengukuhkan Ukraine di medan perang dari segi politik dan geopolitik”. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg