Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18

Firma AI milik anak Melayu kembang sayap di Amerika Syarikat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Firma AI milik anak Melayu kembang sayap di Amerika Syarikat

Jun 21, 2018 | 05:30 AM



SEBUAH firma teknologi kewangan (fintech) berdasarkan Kecerdasan Buatan (AI) bagi perniagaan, MyFinB.com, yang diasaskan bersama usahawan Singapura M. Nazri Muhammad, ingin menembusi lebih banyak negara dalam peluasan agresif demi menonjolkan jenamanya.



Untuk melaksanakannya, ia merancang menawarkan Tawaran Awam Awal (IPO) di bursa saham OTC Markets bagi anak syarikatnya, MyFinB Sdn Bhd, menjelang akhir tahun ini.



Ini merupakan satu usaha pertama ke arah matlamat lebih besar bagi syarikat itu yang merancang disenaraikan dalam bursa saham teknologi Amerika, Nasdaq menjelang 2021.



Syarikat itu dalam proses memfailkan borang S-1 yang diwajibkan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika (SEC) untuk rancangan penyenaraian itu.



Jika berjaya, Encik Nazri, 43 tahun, akan menjadi usahawan Melayu pertama dari Singapura menyenaraikan saham dalam bursa OTC Markets serta menjadi firma AI pertama dalam OTC Markets.



Second Chance Properties Ltd (SCP), yang diasaskan Encik Salleh Marican, merupakan satu-satunya usahawan Melayu Singapura yang menyenaraikan sahamnya di Bursa Singapura (SGX) ketika ini.



Untuk memperkenalkan MyFinB kepada pelabur berpotensi dalam peruntukan saham swasta (private placement), firma itu telah mula mengadakan beberapa siri ceramah bergerak (roadshow) pra-IPO di beberapa negara termasuk Malaysia, Singapura, Amerika, London, Tokyo dan Hong Kong berdasarkan undangan.



Siri ceramah pra-IPO pertama diadakan 7 Jun lalu di Malaysia, manakala ceramah kedua pra-IPO diadakan di Singapura hari ini.



MyFinB merancang mengumpul dana AS$7.5 juta ($10.2 juta) bagi pra-IPO dan tambahan AS$15 juta semasa IPO - menjadikan keseluruhan dana yang dirancang dikumpulkan sebanyak AS$22.5 juta.



"Apabila kami memperkenalkan MyFinB Sdn Bhd sejak tahun lalu, kami merupakan antara syarikat AI pertama yang menyediakan khidmat itu yang telah digunakan oleh institusi kewangan, syarikat, firma perakaunan dan agensi pemerintah di 20 negara di dunia.



"Kami merasakan inilah masa terbaik membawa firma ini menuju ke tahap selanjutnya dengan rancangan menyenaraikannya di OTC Markets sebelum disenaraikan di Nasdaq, bursa saham yang menjadi idaman setiap syarikat teknologi dunia,'' kata Encik Nazri, yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO) MyFinB dan VSC Asia-Pacific Group, ketika ditemui Berita Harian (BH).



Menggunakan teknologi AI, MyFinB berupaya menganalisis 'kesihatan perniagaan' kedudukan kewangan syarikat, menyenaraikan masalah dihadapi syarikat, memberikan saranan mengenai huraian bagi menyelesaikan masalah itu serta menganggarkan masalah yang boleh berlaku di hari muka.



Ia dapat dilakukan dalam tempoh sejam pada kadar harga lebih rendah berbanding mendapatkan perundingcara bagi menilai masalah syarikat yang boleh memakan masa berbulan-bulan.



MyFinB telah mengeluarkan lesen induk negara di 20 negara seperti Amerika, Britain, China, India, Sepanyol, Senegal, Australia dan Ivory Coast bernilai sehingga AS$150,000 setahun bagi setiap negara untuk lima tahun.



Firma itu berupaya menjana tambahan pendapatan AS$3 juta hingga AS$10 juta setiap negara setahun hasil penjanaan analisis laporan menggunakan MyFinB.



Menjelang akhir tahun ini, MyFinB berharap menembusi 22 negara.



Selain Encik Nazri yang memiliki 20 peratus saham MyFinB Sdn Bhd, syarikat itu juga dimiliki cendekiawan kewangan Islam tersohor Malaysia yang juga pengerusi Amanie Group, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, yang juga memiliki perkongsian 20 peratus.



Baki 60 peratus dimiliki MyFinB Holdings Pte Ltd di Singapura.



"Melalui penyenaraian yang dirancangkan ini, kami berharap menjadi firma fintech sejagat, meningkatkan jenama serta meluaskan perniagaan dalam pasaran antarabangsa yang lebih besar,'' tambah Encik Nazri.




Lima fakta mengenai rancangan penyenaraian MyFinB dalam OTC Marketps



1. MyFinB akan menjadi firma AI pertama yang akan disenaraikan dalam OTC Markets, Amerika.



2. Sebanyak 12,000 firma disenaraikan dalam OTC Markets.



3. Jumlah dagangan saham dan nilai permodalan pasaran dalam OTC Markets melebihi papan utama Bursa Singapura (SGX).



4. Pembelian firma dan inovasi dalam teknologi merupakan pendorong utama kenaikan harga saham dalam OTC Markets.



5. Sebanyak 139 syarikat Singapura juga disenaraikan dalam OTC Markets seperti DBS, UOB dan SIA Engineering Company. Syarikat lain termasuk Rolls-Royce Holdings Plc, Standard Chartered Plc dan Carrefour SA.



Sumber: MyFinB




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >