Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Pasaran halal S'pura terus rancak

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Pasaran halal S'pura terus rancak

Didorong peniaga yang lebih sedar akan 'nilai' pasaran halal serta kehadiran lebih ramai pelancong Muslim ke sini
Sep 09, 2018 | 05:30 AM



PASARAN halal di Singapura dijangka terus berkembang kukuh, sejajar dengan permintaan bagi produk halal yang meningkat.



Pertumbuhan ini didorong oleh faktor seperti kesedaran lebih tinggi tentang nilai halal di kalangan peniaga di tengah-tengah sekitaran perniagaan yang kompetitif di samping kehadiran pelancong Muslim ke sini yang bertambah.



Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), sebanyak 4,456 premis diberikan sijil halal pada tahun lalu, peningkatan sekitar 11 peratus berbanding 4,017 pada 2016.



Sebanyak 54,378 produk - seperti perisa makanan, produk sedia makan dan sos - menerima sijil halal berbanding 40,302 pada tahun sebelumnya.



Ini sekali gus mencerminkan potensi pasaran halal setempat yang positif, menurut pemilik perniagaan dan konsultan halal.



Sejak sijil halal ditadbirkan Muis pada 1978, badan itu melihat permintaan dalam pasaran halal meningkat stabil, 10 peratus setiap tahun.



Salah sebuah syarikat setempat yang telah menikmati manfaat daripada sijil halal sejak 1993 adalah Tenderfresh dengan penjualan tahunan meningkat 15 peratus.



Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Tenderfresh, Encik Gabriel Chee, menjelaskan bahawa taraf sijil halal sama seperti piawaian antarabangsa ISO dan HACCP.



"Dengan sijil halal, kami dapat menawarkan menu kepada segmen pasaran lebih besar.



"Memandangkan kos buruh dan sewa semakin meningkat, kami menjangkakan lebih banyak pengendali makanan dan minuman akan sedar bahawa mereka perlu memaksimumkan sepenuhnya segmen pasaran seberapa banyak yang boleh.



"Justeru, kami fikir dengan bertambahnya pasaran halal, ia adalah amat baik kerana akan mendorong permintaan dan membolehkan lebih banyak produk halal, lantas membuka laluan untuk kami menghasilkan menu baru," ujar beliau.



Encik Chee menambah masyarakat Islam semakin bijak membuat pilihan kerana pilihan makanan tidak lagi terbatas seperti dahulu.



"Potensi halal memang besar dan kerana itu, menu halal menjadi keutamaan bagi jenama kumpulan Tenderfresh," terangnya.



Tenderfresh yang mengendalikan jenama seperti Tenderbest, memiliki 35 cawangan halal.



Permintaan produk halal daripada pengguna mendorong sebuah lagi jenama restoran, Encik Tan, yang mendapatkan sijil halal sejak ia pertama kali dibuka pada 2014.



Dengan sekitar 20 cawangan di Singapura, pemilik bersama Encik Tan Kim Leng berkata penjualan restorannya melonjak 30 peratus.



Sentimen optimis peniaga memang jelas diperhatikan oleh konsultan halal setempat yang ditinjau.



Pemilik syarikat rundingcara halal, HCS Consultants Pte Ltd, Encik Fazil Abdul Hamid Marican, menyaksikan jumlah syarikat yang meminta khidmat konsultansi halal meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus pada tahun ini.



"Minat syarikat setempat mendapatkan sijil halal meningkat kerana ada yang mahu mengeksport produk ke pasaran halal baru seperti Eropah.



"Mereka melihat peluang perniagaan dalam pasaran halal kerana jumlah Muslim yang meningkat sebagai penduduk mahupun pelancong yang mempunyai kuasa berbelanja yang tinggi," terangnya.



Encik Fazil berpendapat permintaan sijil halal akan terus meningkat daripada syarikat baru.



"Demografik Singapura mungkin kecil tetapi dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa, pertimbangan makanan dalam majlis sosial, korporat dan sekolah semakin penting, apatah lagi pemahaman tentang halal lebih mendalam.



"Sijil halal Muis juga dipercayai dan diiktiraf, jadi ia memberi keyakinan kepada pengguna di dalam dan luar negara," tambahnya.



Satu faktor penting yang memacu pertumbuhan pasaran halal setempat adalah kehadiran lebih ramai pelancong Muslim yang tiba di Singapura, kata Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating dan HalalTrip, Encik Fazal Bahardeen.



Menurut tinjauan Indeks Muslim Global (GMTI) Mastercard-CrescentRating, terdapat kira-kira 3 juta pengunjung Muslim di Singapura tahun lalu.



"Kita dapat melihat golongan pelancong Muslim membentuk bahagian yang agak besar bagi jumlah keseluruhan pelancong di sini.



"Dengan pasaran pelancongan Muslim diramalkan meningkat kepada AS$220 bilion ($303 bilion) menjelang 2020 berdasarkan tinjauan kami, kededua pelancong Muslim dan golongan Muslim yang singgah di sini (transit) akan tetap meningkat.



"Ini bermakna segmen makanan halal adalah antara sektor yang akan mendapat manfaat," ujar beliau.



Tinjauan Mastercard-CrescentRating tahun lalu mendapati Singapura adalah destinasi paling popular bagi pelancong Muslim di kalangan negara bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi lapan tahun berturut-turut. Laporan tahunan Muis pada tahun lalu pula mengatakan bahawa industri pasaran halal global dijangka mencecah sekitar AS$1.6 trilion pada tahun ini.




CONTOH 3 RESTORAN YANG DAPAT MANFAAT SELEPAS DAPAT SIJIL HALAL



Akhirnya dapat nikmati sajian di Subway...



SETELAH berdekad menunggu, pengguna Muslim akhirnya dapat menikmati sajian rangkaian restoran makanan segera dari Amerika Syarikat, Subway, selepas ia menerima sijil halal, minggu lalu (gambar kiri).



Subway menerima sijil halal setelah beroperasi di Singapura sejak 1996, dengan cawangan pertamanya di Lau Pa Sat.



Pelanggan Muslim kini boleh menikmati sandwic atau sub halal di 131 cawangannya di sini.



Jurucakap Subway Singapore memberitahu Berita Harian ia telah menerima "respons positif sejak menjadi halal".



Semua restorannya sedang bekerja keras bagi memenuhi jangkaan pelanggan dan komited menyajikan hidangan yang berkhasiat daripada bahan yang bermutu, jelas Subway Singapore dalam kenyataannya.



Subway telah menunjukkan minat menjadi halal pada awal tahun ini, menurut Muis sebelum ini.



Rangkaian makanan segera itu yang sudah berusia 52 tahun, kini menggajikan sekurang-kurangnya 262 pekerja Muslim di Singapura.



Ketika ini, Subway mempunyai sekitar 45,000 cawangan di 112 negara di serata dunia.




Wafel dan aiskrim halal dari Australia



PENGGUNA Muslim memiliki pilihan wafel atau aiskrim halal yang semakin luas sejak rangkaian kafe aiskrim dari Australia, Gelare, menjadi halal.



Rangkaian kafe itu semakin mendapat perhatian masyarakat Muslim sejak ia menerima sijil halal sekitar 2014.



Diasaskan di Fremantle, Australia, Gelare telah membuka cawangannya yang pertama di sini di Suntec City pada 1999. Kini ia memiliki sekitar 16 cawangan termasuk di Tampines 1 dan Waterway Point.




'Kelebihan' Coffee Bean selepas jadi halal



JENAMA kopi popular dari Amerika Syarikat, Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL), mengambil langkah berani mendapatkan sijil halal di Singapura pada 2008.



CBTL, yang sering dilihat pesaing sebuah lagi jenama kopi 'hipster', Starbucks, melihat nilai dan kelebihan sijil halal, apabila memutuskan memohon mendapatkan sijil halal.



Rangkaian kafe kopi berusia lebih 50 tahun itu bertapak di Singapura pada 1996, sebelum berkembang ke pasaran Asia lain. Antara cawangannya paling popular di dunia ialah Los Angeles kerana dilaporkan sering dilanggani selebriti.



Ia kini memiliki sekitar 1,000 cawangan di 32 negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >