Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 warga M’sia tipu sekitar 70 mangsa di S’pura lebih $164,000

Mar 19, 2025 | 5:33 PM
Lima lelaki warga Malaysia telah menipu lebih kurang 70 mangsa di Singapura, mengakibatkan kerugian melebihi $164,000. Kesemua lelaki itu merupakan sebahagian daripada sindiket transnasional yang menjalankan skim ‘penipuan panggilan rakan palsu’.
Lima lelaki warga Malaysia telah menipu lebih kurang 70 mangsa di Singapura, mengakibatkan kerugian melebihi $164,000. Kesemua lelaki itu merupakan sebahagian daripada sindiket transnasional yang menjalankan skim ‘penipuan panggilan rakan palsu’. - Foto SPF

Lima lelaki warga Malaysia, yang direkrut oleh sindiket transnasional untuk menjalankan skim ‘penipuan panggilan rakan palsu’, telah menyasar sekurang-kurangnya 70 mangsa di Singapura, mengakibatkan kerugian melebihi $164,000.

Kesalahan itu melibatkan penipu menghubungi mangsa melalui mesej teks atau panggilan telefon, berpura-pura menjadi seseorang yang mangsa kenali sebelum meminta bantuan kewangan.

Lima lelaki itu ialah Kek Yuan Chun, 20 tahun; Chua Zi Huang, 24 tahun; Heng Guo Hao, 26 tahun; Loh Chuan Sheng, 36 tahun; dan Yee Kong Yao, 37 tahun.

Mereka mengaku bersalah atas tuduhan menipu pada 14 Mac.

Individu yang mereka sasarkan termasuk mangsa yang mudah dipengaruhi berusia antara 68 dengan 76 tahun.

Pihak pendakwaan berkata lima lelaki itu telah berpindah ke kondominium Marina Residence JB di Johor Bahru dan beroperasi dari pusat penipuan di kondominium itu.

Setiap lelaki dibayar RM3,000 ($900) sebulan untuk tiga bulan pertama sebelum jumlah itu dinaikkan kepada RM5,000 atau RM5,500.

Kebanyakan lelaki itu juga diberi ‘komisen’ sebanyak 10 peratus berdasarkan jumlah mereka menipu daripada mangsa.

Mereka melaporkan kepada seseorang dikenali sebagai ‘Tong Hua Shun’.

Sebagai sebahagian daripada pekerjaan mereka, kesemua lelaki juga diberi makanan dan penginapan.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa lima lelaki itu bekerja dari 10 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Sabtu.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Daphne Lim dan Teng Yin Hang menyatakan dalam dokumen mahkamah bahawa Tong akan menyebarkan senarai nama kepada dua kumpulan Telegram berbeza yang diuruskan sindiket itu.

Setiap senarai mengandungi kira-kira 200 nama bakal mangsa dan nombor telefon mereka yang berdaftar di Singapura.

Kesemua lima lelaki, yang sebahagian daripada kumpulan Telegram itu, kemudian akan menghubungi semua bakal mangsa sebelum mereka diberi senarai nama baru.

Mereka juga diberikan skrip sebagai rujukan semasa membuat panggilan penipuan dan akan bertanya kepada bakal mangsa sama ada mereka mengecam suaranya.

Biasanya, bakal mangsa akan bertanya jika lelaki itu adalah rakan mereka.

Kedua-dua DPP berkata: “Yang tertuduh kemudian akan menggunakan identiti rakan itu dan bertukar-tukar mesej dengan mangsa di WhatsApp dalam beberapa hari akan datang.

“Selepas itu, mangsa akan ditipu untuk memindahkan wang ke akaun bank yang dikawal oleh sindiket transnasional atas pelbagai alasan palsu.”

Mereka mula bekerja untuk sindiket itu antara Mei dengan Ogos 2023, dengan sebahagian daripada mereka bekerja bersama untuk menyasarkan mangsa sama.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa Chua telah menyasarkan paling ramai mangsa – 54 orang telah memindahkan lebih daripada $117,000 secara keseluruhan.

Loh menipu 53 mangsa untuk memindahkan $116,560 kepadanya, manakala Kek menipu 52 orang untuk memindahkan $116,060 kepadanya.

Yee dan Heng menipu 16 orang lebih daripada $47,000 secara keseluruhan.

Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bekerjasama untuk berkongsi maklumat mengenai kes penipuan itu.

Pada 16 Januari 2024, pihak berkuasa Malaysia menyerbu unit kondominium tersebut dan menahan lima lelaki itu.

Mereka dibawa ke Singapura seminggu kemudian dan didakwa di mahkamah pada 24 Januari 2024.

Kelima-lima lelaki itu akan dihukum pada April 2025.

“Yang tertuduh kemudian akan menggunakan identiti rakan itu dan bertukar-tukar mesej dengan mangsa di WhatsApp dalam beberapa hari akan datang. Selepas itu, mangsa akan ditipu untuk memindahkan wang ke akaun bank yang dikawal oleh sindiket transnasional atas pelbagai alasan palsu.”
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Daphne Lim dan Teng Yin Hang.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg