Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jel bagi lelaki tawar skim pelaburan AI, tipu mangsa lebih $4.6j

Sep 19, 2025 | 7:43 PM
Ong Kai Min dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun sembilan bulan pada 19 September.
Ong Kai Min dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun sembilan bulan pada 19 September. - Foto ST

Seorang lelaki yang menawarkan satu skim pelaburan berkuasa kecerdasan buatan (AI) palsu dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun sembilan bulan pada 19 September, selepas dia menipu beberapa mangsa melibatkan jumlah wang lebih $4.6 juta.

Ong Kai Min, 42 tahun, sebelum ini mengaku bersalah atas lapan pertuduhan menipu melibatkan lapan pelabur - tujuh individu dan sebuah syarikat.

Lapan pertuduhan tersebut melibatkan jumlah wang lebih $3.39 juta, termasuk AS$537,000 ($689,000).

Sebanyak 16 pertuduhan lain, termasuk yang berkaitan dengan baki jumlah wang tersebut, diambil kira semasa hukuman ke atas Ong dijatuhkan, lapor The Straits Times (ST).

Pada masa kesalahan itu berlaku, iaitu antara Mei 2019 dengan Mac 2021, warga Singapura itu adalah pengarah bagi sebuah syarikat swasta, Singapore Index Trading Institute (SITI).

Dia memberitahu pelabur bahawa syarikat tersebut telah membangunkan beberapa program AI yang menjalankan dagangan automatik dalam instrumen kewangan.

Pelabur juga diberitahu bahawa program AI tersebut mencatatkan pulangan sekurang-kurangnya 3 peratus sebulan pada masa lalu, dan menjangka pulangan antara 2 peratus dengan 10 peratus sebulan pada masa depan.

Pada hakikatnya, tidak ada aktiviti perdagangan dijalankan dengan wang pelabur.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis memaklumkan bahawa Ong adalah pengarah empat syarikat.

Syarikat tersebut ialah SITI, Bookhero, OKM Holdings dan C7 Traders Vanuatu (C7TVL), yang terakhir ditubuhkan di negara kepulauan Pasifik itu.

SITI menawarkan kursus pendidikan, dengan Ong mengajar peserta cara berdagang dalam bidang seperti pertukaran mata wang asing.

C7TVL pula mengendalikan sebuah wadah dagangan dalam talian yang dikenali sebagai C7 Traders.

Antara lain, bakal pelabur diberitahu bahawa perdagangan akan dijalankan menggunakan akaun dagangan peribadi pelabur di C7 Traders, dan bahawa C7TVL adalah sebuah syarikat pembrokeran yang bebas daripada SITI.

Pada Ogos, Timbalan Pendakwa Raya Jordon Li memberitahu mahkamah:

“Tiada satu pun perkara di atas adalah benar. Tertuduh memiliki kedua-dua C7TVL dan SITI… Tiada dana pelabur yang pernah disalurkan ke C7TVL untuk membiayai dagangan pelabur.”

Ong kemudiannya menggunakan wang pelabur untuk tujuan lain, termasuk perbelanjaan operasi bagi kedua-dua SITI dan C7TVL, serta perbelanjaan peribadinya sendiri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg