Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

$2.8b hasil bon hijau S’pura diperuntuk bagi dua laluan MRT

Pembangunan Laluan Daerah Jurong, Laluan Rentas Pulau sokong teras Pelan Hijau Singapura 2030
Sep 29, 2025 | 3:57 PM
Singapura, bon hijau, Laluan Daerah Jurong, Laluan Rentas Pulau
Pemerintah Singapura telah mengumpul hasil sebanyak $9.2 bilion daripada penerbitan Sekuriti Pemerintah Singapura (SGS) hijau sejak 2022. - Foto ST

Hasil bon hijau sebanyak $2.8 bilion telah diperuntukkan untuk tahun kewangan (FY) 2024 bagi membiayai perbelanjaan modal Laluan Daerah Jurong (JRL) dan Laluan Rentas Pulau (CRL), menurut Laporan Bon Hijau Singapura untuk FY2024 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada 29 September.

Baki $3.6 bilion hasil bon hijau itu dijangka akan diperuntukkan sepenuhnya kepada JRL dan CRL menjelang akhir tahun kewangan 2026, menurut edisi ketiga laporan tersebut. 

Laporan itu juga merangkumi peruntukan hasil bon hijau Singapura pada FY2024 serta kesan alam sekitar yang dijangka daripada projek-projek yang dibiayai, lapor The Business Times (BT).

Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, berkata bahawa laporan tersebut “mencerminkan komitmen (Singapura) terhadap program bon hijau yang kukuh dan penerbitan bermutu tinggi untuk membiayai ... prasarana hijau”.

“Singapura akan terus melaksanakan langkah-langkah pengurangan dan penyesuaian yang menyeluruh untuk mencapai sasaran iklim nasional kita dan menyokong pembangunan mampan di rantau ini,” katanya, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Bon Hijau.

Pembangunan JRL dan CRL menyokong teras ‘Kehidupan Lestari’ dalam Pelan Hijau Singapura 2030, yang bertujuan untuk memperluaskan rangkaian rel negara kepada 360 kilometer. 

Ini akan membantu Singapura mencapai sasaran sifar pelepasan karbon menjelang 2050, serta mengurangkan pelepasan daripada pengangkutan darat, yang mencapai paras tertinggi pada 2016, menjelang 2040, menurut laporan tersebut.

Apabila beroperasi sepenuhnya, JRL dan CRL dijangka dapat menjimatkan antara 100,000 dengan 120,000 tan setara karbon dioksida (’carbon dioxide-equivalent’) setiap tahun, menurut MOF. 

Ini bersamaan dengan menghapuskan sekurang-kurangnya 22,000 kereta dengan enjin pembakaran dalaman dari jalan raya Singapura, kata kementerian itu.

Jumlah bon hijau yang diperuntukkan setakat akhir FY2024 berjumlah $5.6 bilion, termasuk $2.8 bilion hasil yang diperuntukkan setakat FY2023. 

Kesan dibiayai yang dijangkakan adalah antara 9,600 hingga 14,000 tan pelepasan setara karbon dioksida yang dapat dicegah setiap tahun.

Pemerintah Singapura telah mengumpul $9.2 bilion hasil daripada penerbitan Sekuriti Pemerintah Singapura (SGS) sejak 2022.

Ia mengeluarkan tranche pertama bon SGS hijau 30 tahun pada Jun 2024, dengan jumlah penerbitan sebanyak $2.5 bilion.

Ia juga telah mengeluarkan bon SGS hijau 50 tahun dalam tiga tranche. 

Tranche pertama diterbitkan pada Ogos 2022 dengan jumlah penerbitan sebanyak $2.4 bilion.

Tranche kedua diterbitkan pada September 2023, sementara tranche ketiga pada Oktober 2024, dengan jumlah penerbitan masing-masing sebanyak $2.8 bilion dan $1.5 bilion.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg