300 majikan diiktiraf bagi kemajuan kerjaya, gaji
Crave, Muis, Yayasan Mendaki antara dalam senarai yang dinilai di bawah Indeks Daya Peluang S’pura
Sebanyak 300 majikan telah diiktiraf oleh rakan tiga pihak Singapura atas usaha mereka menyokong kemajuan kerjaya dan gaji pekerja, sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk memperkukuh daya tahan tenaga kerja di tengah perubahan kemahiran yang pesat pada 21 Januari.
Senarai tersebut merangkumi perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan syarikat berbilang negara (MNC) yang mewakili 20 peratus teratas daripada hampir 1,500 majikan yang dinilai di bawah Indeks Daya Peluang Singapura (SOI), kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Antara yang tersenarai ialah syarikat makanan dan minuman (F&B) Crave, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dan Yayasan Mendaki.
Sekitar 50 peratus daripada syarikat dalam indeks tersebut merupakan ahli Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef).
Senarai SOI itu, yang dibangunkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bersama Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Burning Glass Institute, telah dilancarkan pada Oktober 2025.
Ia berasaskan data oleh pemerintah dan menilai majikan yang merentasi lima hasil utama, iaitu kemajuan kerjaya, gaji, pengambilan pekerja, pengekalan pekerja dan kesaksamaan jantina.
Berdasarkan prestasi sesebuah organisasi, ia diklasifikasikan sebagai Pelancar Kerjaya (Career Launcher), Pembina Kerjaya (Career Builder) atau Penambat Kerjaya (Career Anchor).
Pelancar Kerjaya membuka peluang kepada bakat yang sering terlepas pandang dan mengutamakan kemahiran daripada kelayakan formal.
Pembina Kerjaya pula melabur pada laluan berstruktur untuk memupuk pertumbuhan, manakala Penambat Kerjaya memupuk kestabilan jangka panjang dan kepercayaan menerusi pekerjaan yang berterusan.
Dr Tan berkata pada Oktober 2025 bahawa indeks ini bukan bertujuan untuk menyusun kedudukan majikan, sebaliknya membantu kededua firma dan pekerja memahami dengan lebih baik bagaimana amalan di tempat kerja membentuk hasil tenaga kerja serta memaklumkan keputusan yang dibuat.
Merujuk kepada satu laporan Forum Ekonomi Dunia 2025, Dr Tan menyatakan dalam ucapannya bahawa pekerja boleh menjangkakan sekitar dua perlima daripada set kemahiran mereka sama ada berubah atau menjadi lapuk dalam tempoh lima tahun akan datang akibat kecerdasan buatan (AI) dan keperluan perniagaan yang berubah.
SOI, katanya, menyorot cara organisasi mewujudkan peluang untuk pekerja mereka, dengan menunjukkan bagaimana majikan membentuk hasil menerusi keputusan modal insan harian seperti amalan pengambilan pekerja, laluan pembangunan dan reka bentuk pekerjaan.
“Keputusan-keputusan ini terkumpul sepanjang perjalanan kerjaya seseorang individu dan memberi kesan nyata sama ada mereka maju, terhenti atau berkembang maju,” kata Dr Tan.
Namun, beliau menegaskan pekerja tetap perlu memikul tanggungjawab terhadap pembangunan kerjaya sendiri dan aktif mencari peluang pertumbuhan.
Bagi majikan, tersenarai dalam kelompok 300 teratas juga menghantar isyarat kukuh bahawa organisasi mereka menawarkan “peluang sebenar dan pertumbuhan sebenar”.
Selain itu, mereka akan menerima sokongan daripada MOM, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Snef dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).
Menurut kenyataan bersama MOM, NTUC dan Snef, 300 syarikat tersebut akan menerima laporan individu terperinci bagi membantu mereka mentafsir keputusan dan membandingkan prestasi dengan rakan industri.
Anggota majlis Snef, Encik Benjamin Boh, yang juga pengerusi bersama Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Pembangunan Keupayaan Modal Insan, berkata persekutuan majikan itu berharap dapat menyokong lebih banyak syarikat dalam memacu transformasi tenaga kerja dan tempat kerja menerusi sumber serta khidmat perundingannya.
Langkah ini, tambah beliau, dijangka membantu syarikat meletakkan diri mereka sebagai “majikan pilihan dan berpeluang di Singapura”.

