Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) pada 16 Disember telah mengemukakan tujuh saranan bagi Belanjawan 2026.
Presiden Snef, Encik Tan Hee Teck, berkata cadangan itu bertujuan mengurangkan tekanan dan kos tenaga kerja, di samping membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan ekonomi yang semakin dipacu oleh pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).
“Kami menyeru bagi sokongan lebih kukuh dalam transformasi tenaga kerja, peningkatan kemahiran dan penggunaan teknologi supaya majikan kekal berdaya saing serta pekerja dapat terus maju,” tambahnya.
Saranan pertama Snef tertumpu kepada usaha memperbaiki akses kepada “tenaga kerja asing yang saling melengkapi dan berkemahiran”, lapor The Business Times (BT).
Persekutuan itu berkata ia mengiktiraf bahawa dasar tenaga kerja asing Singapura perlu “mencapai keseimbangan antara memastikan akses kepada kemahiran penting sambil melindungi peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan”.
Lantas, ia mencadangkan supaya majikan yang mengamalkan amalan pekerjaan progresif, seperti pengaturan kerja fleksibel serta pengambilan dan pengekalan pekerja kanan, diberi lebih fleksibiliti untuk menggaji tenaga kerja asing.
Saranan kedua memberi tumpuan kepada sokongan bagi tenaga kerja Singapura yang semakin menua, dengan saranan untuk melanjutkan Kredit Pekerjaan Warga Emas dan Imbangan Peralihan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk melepasi 2025 dan 2026 masing-masing bagi membantu majikan mengurus kos tenaga kerja dan penjagaan kesihatan lebih tinggi apabila menggajikan pekerja lebih tua.
Persekutuan itu juga mencadangkan geran lebih kukuh untuk mereka bentuk semula tempat kerja serta teknologi mesra usia bagi mengekalkan pekerjaan warga emas.
Saranan ketiga menggesa sokongan lebih kukuh untuk mempercepat transformasi digital dan penggunaan AI.
Saranan keempat pula menyeru sokongan berterusan bagi membantu perniagaan menguruskan kenaikan kos.
Saranan ini berasaskan isu majikan yang terus berdepan tekanan kos daripada gaji, caruman CPF, sewaan serta utiliti. Oleh itu, ia menyeru agar bantuan diberikan khususnya bagi syarikat kecil dan sederhana (SME).
Saranan kelima berkaitan usaha memperkukuh transformasi tenaga kerja dan keupayaan kepimpinan melalui sokongan bagi tempoh lebih lama bagi Program Penukaran Kerjaya (CCP), pembiayaan bagi menampung kos gaji semasa ketidakhadiran atau cuti pengajian, serta pembiayaan bersama lebih kukuh bagi latihan kepimpinan dan pengurusan.
Ini untuk membantu firma membina saluran penggantian dan melahirkan generasi pemimpin seterusnya.
Meskipun pihak majikan kekal komited terhadap “keutamaan nasional dalam memperkukuh institusi perkahwinan dan keibubapaan demi menyokong pertumbuhan tenaga kerja Singapura”, inisiatif tersebut telah menambah kos perniagaan dan tuntutan operasi, kata Snef.
Dalam pada itu, ia berkata dua saranan terakhir bertujuan menyokong keupayaan majikan dalam pengurusan sumber manusia bagi meredakan tekanan tersebut.
Ini termasuk amalan pekerjaan progresif serta usaha meningkatkan taraf pekerja bergaji rendah.
Oleh itu, Snef menggesa pemerintah agar menambah baik dan melanjutkan Sistem Kredit Gaji Progresif melepasi 2026, bagi membantu firma memenuhi komitmen gaji secara mampan tanpa menjejaskan produktiviti atau usaha reka bentuk semula pekerjaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg