Pekerjaan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengamat: Tingkat kemahiran untuk rebut peluang kerja dalam 2026

Dec 26, 2025 | 3:33 PM
Peningkatan kemahiran dan latihan semula mungkin tidak menjamin seseorang dapat kekal dalam pekerjaan, namun ia adalah penting dalam memastikan pekerja dilengkapi dengan kemahiran yang sesuai untuk terus dapat diambil bekerja dan kekal berdaya saing dalam pasaran kerja, kata pengamat  sektor tenaga manusia dan pakar ekonomi.
Peningkatan kemahiran dan latihan semula mungkin tidak menjamin seseorang dapat kekal dalam pekerjaan, namun ia adalah penting dalam memastikan pekerja dilengkapi dengan kemahiran yang sesuai untuk terus dapat diambil bekerja dan kekal berdaya saing dalam pasaran kerja, kata pengamat sektor tenaga manusia dan pakar ekonomi. - Foto ST

Pekerja perlu meningkatkan kemahiran dan menjalani latihan semula supaya terus mampu merebut peluang pekerjaan dalam kerja-kerja yang diperlukan industri, kata pengamat sektor tenaga manusia dan pakar ekonomi.

Walaupun langkah itu tidak menjamin sebarang pekerjaan, namun ia memastikan pekerja dilengkapi dengan kemahiran yang sesuai untuk kekal berdaya saing dalam pasaran kerja di tengah-tengah keadaan ekonomi yang tidak menentu, tambah mereka.

Ini adalah penting terutamanya dengan ramalan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan majikan pula bersikap lebih berhati-hati dalam menggajikan pekerja dan menaikkan gaji pekerja pada 2026.

Penolong Profesor Chua Yeow Hwee dalam bidang ekonomi di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata sentimen pengambilan pekerja yang lebih perlahan dan penyesuaian gaji yang lebih sederhana tidak secara automatik membayangkan pemberhentian kerja yang meluas.

Sebaliknya, ia selalunya merupakan tindak balas berjaga-jaga terhadap ketidakpastian dan bukannya tanda-tanda kelemahan struktur.

Namun, Dr Chua menambah bahawa pekerja dalam bidang pertumbuhan produktiviti rendah atau nilai tambah terhad mungkin akan berasa lebih tekanan sedang syarikat membuat penyusunan semula.

Oleh itu, peningkatan kemahiran adalah penting, tambahnya, walaupun ia bukan satu jaminan buat pekerja.

“Apa yang penting adalah peningkatan kemahiran disasarkan yang selaras dengan keperluan industri. Pekerja harus memberi tumpuan pada kemahiran yang boleh dibuktikan dalam bidang seperti transformasi digital, pengendalian data, dan alat yang khusus pada sektor.

“Juga sama penting adalah kemahiran insani seperti komunikasi, penyelesaian masalah, dan keupayaan bekerja dalam persekitaran tangkas,” kata Dr Chua.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam ramalan pertamanya bagi 2026 menjangkakan ekonomi berkembang lebih perlahan antara 1 dengan 3 peratus.

Ini selepas mencatatkan pertumbuhan sekitar 4 peratus pada 2025 dan 4.4 peratus pada 2024.

Dengan ramalan pertumbuhan lebih perlahan ini, pengamat menjangkakan majikan akan bersikap lebih berhati-hati dalam menambah bilangan kakitangan mereka, terutamanya dalam separuh pertama 2026.

Bahkan, satu tinjauan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) yang dikeluarkan pada Disember menunjukkan hampir tiga dalam lima, atau 58 peratus, majikan rancang ‘membekukan’ bilangan kakitangan pada 2026 – naik daripada 50 peratus dalam tinjauan 2024.

Tinjauan sama itu turut menunjukkan sekitar 48 peratus majikan menyatakan mereka rancang menyederhanakan kenaikan gaji atau membekukan gaji pada tahun kewangan 2026.

Sebahagian segmen pencari kerja, seperti lulusan baru dan individu pertengahan kerjaya, pula mungkin menghadapi cabaran lebih besar dengan sentimen demikian.

Namun, apa yang penting adalah untuk terus kekalkan sikap bersemangat, menyederhanakan jangkaan, dan tidak bersikap terlalu memilih apabila peluang kerja datang, kata Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Beliau memberi contoh beberapa program pemerintah yang dapat membantu pencari kerja, seperti kursus SkillsFuture dan Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (GRIT) dan GRIT@Gov, yang menawarkan sehingga 800 slot latihan merentasi pelbagai industri di agensi sektor awam dan swasta.

“Penekanan mesti diberikan kepada pembelajaran, terutamanya lulusan baru,” kata Dr Tan.

“Tiada apa yang dijamin, namun cara untuk melihatnya adalah begini: tanpa peningkatan kemahiran dan latihan semula, individu akan menjadi kurang berdaya saing dalam pasaran kerja,” tambahnya.

Bersependapat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber, berkata dalam ekonomi yang pesat berubah, pekerja yang sentiasa mempertingkat kemahiran dan mendakap pembelajaran sepanjang hayat akan berada dalam kedudukan terbaik untuk merebut peluang walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

Khusus bagi masyarakat Melayu/Islam, beliau berkata Mendaki kekal komited memperkasa belia, lulusan baru, pekerja dan karyawan untuk mempertingkat kemahiran, kekal relevan dan mempunyai akses kepada sektor pertumbuhan seperti industri teknologi, penjagaan kesihatan dan hijau.

Antaranya, badan bantu diri itu akan memperkenalkan inisiatif baru pada 2026 untuk mempersiapkan masyarakat bagi masa depan dipacu kecerdasan buatan (AI).

Ini termasuk pelancaran bengkel asas AI dan kerjasama dengan agensi pemerintah untuk menggalak individu belajar alat AI seperti ChatGPT dan Gemini serta menyertai kursus untuk membangunkan kemahiran teknologi infokom.

“Masyarakat kita boleh mengakses maklumat dan alat AI ini di platform media sosial Mendaki.

“Pada dasarnya, misi kami adalah untuk memastikan setiap pekerja mempunyai keyakinan, kemahiran dan sokongan untuk mengharungi cabaran dan menjamin masa depan lebih cerah,” kata Encik Feroz.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg