Para penumpang boleh menggunakan kad American Express untuk membayar tambang pengangkutan awam mereka mulai 15 Mei.
Pengguna yang menggunakan kad itu juga boleh menghubungkannya kepada dompet digital mereka untuk memudahkan akses, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan syarikat American Express dalam satu kenyataan media pada 13 Mei.
Mereka turut tidak perlu mendaftar kad mereka terlebih dahulu untuk digunakan.
“Dengan ini, mereka tidak perlu membawa kad perjalanan berbeza atau tambah nilai kad itu,” menurut kenyataan media itu.
Penumpang yang menggunakan kad American Express akan dikenakan tambang yang sama seperti mereka yang menggunakan kad perjalanan bernilai seperti kad EZ-link dan Nets FlashPay, tanpa melibatkan bayaran tambahan, lapor The Straits Times (ST).
Seperti kad kredit yang lain, pembayaran untuk perjalanan pengangkutan awam akan tertera dalam bil kredit, debit atau prabayar kad kredit pengguna.
Mereka yang mempunyai akaun aplikasi SimplyGo juga boleh melihat perbelanjaan perjalanan mereka.
Mereka juga boleh memilih untuk menerima pemberitahuan untuk harga tambang selepas setiap perjalanan.
“Penumpang yang membawa lebih daripada satu kad bank tanpa sentuh atau kad perjalanan diingatkan supaya mengeluarkan kad yang mereka ingin gunakan sebelum berada di gantri tambang.
“Mereka juga harus menggunakan kad yang sama apabila masuk dan keluar dari gantri tambang bagi mengelakkan pembayaran ke atas berbilang kad,” menurut kenyataan media itu.
Encik Marlin Brown, pengurus negara American Express di Singapura, berkata penambahan kad itu pada senarai kad diterima memberi lebih banyak kemudahan kepada para penumpang.
“Ia penting bagi kami untuk memberikan anggota kad kami pengalaman pembayaran yang lancar di mana sahaja mereka tinggal dan bekerja – membolehkan mereka menggunakan kad mereka pada pengangkutan awam di seluruh dunia adalah penting,” tambahnya.
Pertama kali kad kredit diterima bagi pembayaran tambang pengangkutan awam di sini adalah pada 2016 apabila program perintis diperkenalkan untuk membolehkan pengguna kad Mastercard dibayar untuk perjalanan bas dan kereta api.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg