Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 900 unit kondo baru ditempah hujung minggu

Pembeli rebut kondo dalam tiga pelancaran baru
Aug 4, 2025 | 4:01 PM
kondominium, river valley, river green
Projek kediaman, River Green, di kawasan River Valley mencatat jualan tertinggi sebanyak 460 unit, atau 88 peratus daripada 524 unit yang ditawarkan, hingga 3 Ogos. - Foto ZAOBAO

Pembeli rumah menempah lebih 900 unit kondominium baru sepanjang hujung minggu lalu, dengan projek kediaman River Green di kawasan River Valley mencatat kadar jualan tertinggi, iaitu 88 peratus, pada harga purata $3,130 setiap kaki persegi (psf).

Kondominium, Promenade Peak, yang juga terletak di kawasan River Valley, mencatat kadar pembelian 54 peratus, dengan harga mencecah hingga $3,521 psf.

Projek kondominium, Canberra Crescent Residences, pula berjaya menjual 40 peratus daripada jumlah unit yang ditawarkan pada harga $1,974 psf, secara purata.

Secara keseluruhan, tiga projek baru tersebut menjual lebih 62 peratus daripada 1,496 unit rumah yang ditawarkan, ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Kelvin Fong.

Dengan mengambil kira 893 unit rumah baru yang dijual pada Julai, jumlah jualan rumah baru (tidak termasuk kondominium eksekutif) bagi suku ketiga 2025 setakat ini mencapai lebih 1,820 unit.

Ia jauh lebih tinggi berbanding 1,212 unit yang dijual pada suku kedua, kata Encik Fong.

Prestasi jualan yang menggalakkan itu mencerminkan permintaan kukuh yang berterusan terhadap perumahan privet.

Ia juga menggambarkan keyakinan pembeli rumah terhadap prospek pasaran hartanah kediaman Singapura bagi jangka sederhana dan panjang, tambahnya.

CEO Huttons Asia, Encik Mark Yip, menekankan bahawa sambutan menggalakkan, khususnya bagi projek River Green yang mempunyai 524 unit, dan Promenade Peak dengan 596 unit, menunjukkan minat memberangsangkan terhadap rumah di lokasi bandar, lapor The Business Times (BT).

“Kejayaan menjual lebih 700 unit secara kolektif pada hujung minggu pelancaran adalah hasil yang mengagumkan.

“Ini bukti jelas mengenai permintaan pasaran dan penerimaan kededua projek ini,” kata Encik Yip.

Prestasi amat baik itu turut merangsang jualan rumah baru di Kawasan Tengah Utama (CCR) ke tahap tertinggi.

Ini menandakan pemulihan lebih meluas dalam pasaran CCR, selepas jualan lembap di kawasan tersebut sejak kadar Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) dinaikkan pada April 2023, kata Encik Fong.

“Ramai pembeli kini menganggap projek kediaman di CCR menawarkan harga berbaloi.

“Ini memandangkan jurang harga antara rumah baru di CCR dengan rumah di Baki Kawasan Tengah (RCR) semakin mengecil sejak kebelakangan ini,” ujar beliau.

Prestasi jualan memberangsangkan itu menyusuli kegiatan bidaan kukuh dalam tender tanah pemerintah di kawasan utama lain, kebelakangan ini.

Pada Julai, sebuah tapak tanah di Holland Link menarik lima bidaan, dengan tawaran tertinggi sebanyak $368.4 juta, atau $1,432 psf.

Daripada tiga projek baru yang dilancarkan, projek kediaman River Green mencatat jualan tertinggi sebanyak 460 unit, atau 88 peratus daripada 524 unit yang ditawarkan, hingga 3 Ogos.

Rumah tersebut dijual pada harga $3,130 psf secara purata, menurut satu kenyataan daripada pemaju hartanah, Wing Tai. 

Sekitar 98 peratus pembeli adalah warga dan Penduduk Tetap Singapura, katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg