Peningkatan dalam permintaan bagi barangan elektronik dan perkhidmatan kewangan telah meningkatkan prospek ekonomi Singapura untuk 2024, kata Bank Pembangunan Asia (ADB) pada 25 September.
Bank tersebut menambah bahawa Singapura akan catatkan pertumbuhan bagi keluaran hasil dalam negeri kasar (GDP) sebanyak 2.6 peratus pada 2024, peningkatan berbanding 1.1 peratus pada 2023.
Sementara itu, inflasi dijangka turun tahun ini dan seterusnya.
Eksport domestik bukan minyak meningkat 10.7 peratus pada Ogos berbanding tempoh sama pada 2023, didorong lonjakan 35.1 peratus dalam kiriman elektronik.
Pada 3 September, Persatuan Industri Semikonduktor global berkata jualan cip dunia mencecah AS$51.3 bilion ($66.1 bilion) pada Julai 2024, peningkatan sebanyak 18.7 peratus berbanding dengan jualan pada Julai 2023.
Pada 2023, Singapura merupakan pembekal cip ketiga terbesar di dunia.
ADB berkata pertumbuhan Singapura akan terus stabil hingga 2025.
Ia mengekalkan ramalan pertumbuhan GDP pada 2.6 peratus untuk 2025.
ADB menjangka perkhidmatan - terutama kewangan, maklumat dan teknologi, peruncitan dan sektor berkaitan pelancongan, akan terus memacu pertumbuhan sepanjang tahun 2024.
Namun, ADB berkata pelancongan dan perkhidmatan pengguna domestik berkemungkinan tumbuh lebih perlahan, menjejas sedikit pertumbuhan perkhidmatan keseluruhan.
ADB meramalkan inflasi terus merosot kepada purata 2.2 peratus pada 2025, dibantu dolar Singapura yang kukuh dapat meredakan inflasi pada bulan-bulan akan datang.
Harga minyak mentah berharga AS$83 setong dari Januari hingga Ogos 2024 dan dijangka berlegar di sekitar harga ini hingga akhir tahun, katanya.
ADB jangkakan harga beras akan susut berbanding harga tinggi semasa.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jangkakan pengeluaran beras akan mencapai rekod tinggi baru pada 2024/2025 memandangkan keadaan cuaca berkemungkinan bertambah baik.
Kos penghantaran telah meningkat semula dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sejak Januari 2024, perkapalan global mengalami tekanan akibat konflik di Laut Merah, memaksa kapal mengelak Terusan Suez dan Selat Bab El-Mandeb dan sebaliknya melalui sekitar Tanjung Harapan sekaligus, meningkatkan masa perjalanan dan kos pengangkutan.
ADB jangkakan kadar inflasi semua barangan di Singapura akan berkurangan kepada purata 2.6 peratus pada 2024.
Ini lebih rendah daripada ramalan pada April sebanyak 3 peratus. Pada 2023, inflasi semua barangan di Singapura ialah 4.8 peratus.
Ketua ekonomi ADB, Encik Albert Park berkata risiko peningkatan ketegangan geopolitik bergantung kepada keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).
Calon parti Republikan Encik Donald Trump berikrar kenaikan mendadak dalam tarif ke atas semua import dari China jika beliau menangi pilihan raya pada November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg