Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan MAS: Pakar ekonomi naikkan unjuran pertumbuhan S’pura 2024 kepada 2.6%

Sep 11, 2024 | 4:05 PM
Menurut tinjauan, pertumbuhan GDP akan disokong sektor kewangan dan insurans, pembinaan serta perdagangan borong dan runcit.
Menurut tinjauan, pertumbuhan GDP akan disokong sektor kewangan dan insurans, pembinaan serta perdagangan borong dan runcit. - Foto ZAOBAO

Pakari ekonomi sektor swasta meningkatkan ramalan 2024 mereka untuk pertumbuhan ekonomi Singapura dan menurunkan ramalan mereka bagi inflasi.

Peramal profesional dalam tinjauan suku tahunan yang dikeluarkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 11 September jangkakan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) berkembang 2.6 peratus pada 2024, meningkat daripada 2.4 peratus dalam tinjauan Jun.

Pertumbuhan GDP akan disokong sektor kewangan dan insurans, pembinaan serta perdagangan borong dan runcit, tinjauan itu menunjukkan.

Namun, peramal mengurangkan prospek pertumbuhan bagi sektor pembuatan utama kepada 0.6 peratus, daripada 1.6 peratus dalam tinjauan sebelumnya, lapor The Straits Times.

Dengan prospek pembuatan berkurangan, kadar pertumbuhan eksport domestik bukan minyak dipotong kepada 3 peratus daripada 4 peratus.

Sebaliknya, sektor kewangan dan insurans dijangka berkembang pada 5.7 peratus, meningkat daripada 5.1 peratus dalam tinjauan Jun.

Pertumbuhan dalam pembinaan dinaikkan kepada 3.9 peratus daripada 3.8 peratus.

Perdagangan borong dan runcit dilihat berkembang pada 3 peratus, meningkat daripada 2.5 peratus.

Penggunaan peribadi - atau perbelanjaan isi rumah untuk barangan dan perkhidmatan – berkemungkinan berkembang sebanyak 5.5 peratus, lebih tinggi daripada ramalan sebelumnya sebanyak 3.4 peratus, menurut tinjauan itu.

Peningkatan jangkaan pertumbuhan GDP datang selepas ekonomi berkembang sebanyak 2.9 peratus pada suku kedua 2024, melebihi ramalan median responden tinjauan sebanyak 2.7 peratus dalam tinjauan Jun.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Ogos juga mengecilkan unjuran pertumbuhan Singapura 2024 kepada antara 2 hingga 3 peratus, daripada anggaran awal 1 hingga 3 peratus.

Penganalisis berkata unjuran pertumbuhan pembuatan yang lebih rendah sebanyak 0.6 peratus dalam tinjauan itu mencerminkan prestasi sektor itu yang lebih lemah daripada jangkaan dalam suku kedua.

Encik Chua Han Teng, seorang ahli ekonomi di DBS Bank, berkata angka itu masih menunjukkan perubahan daripada penurunan 1.4 peratus pada separuh pertama 2024 dan penurunan 4.3 peratus pada 2023.

Data yang lebih terkini sebenarnya menunjukkan bahawa hasil sektor pembuatan telah memulakan suku ketiga dengan positif, berkembang 1.8 peratus tahun-ke-tahun pada Julai 2024, selepas menguncup 4.3 peratus pada Jun.

“Prestasi kluster elektronik, yang menyumbang hampir separuh daripada keluaran pembuatan Singapura, akan menjadi kunci dalam memacu pemulihan keseluruhan perkilangan pada separuh kedua 2024,” kata Encik Chua.

“Kami terus menjangkakan firma elektronik Singapura memanfaatkan kitaran naik teknologi global, didorong oleh penggantian telefon pintar dan komputer, serta meluaskan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan,” katanya.

Bagi 2025, responden tinjauan MAS itu melihat GDP berkembang 2.5 peratus, tidak berubah daripada tinjauan Jun.

MTI belum mengumumkan sebarang ramalan untuk 2025.

Kadar pengangguran Singapura dijangka kekal pada 2.1 peratus pada akhir tahun, tidak berubah daripada ramalan sebelumnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg