Perbelanjaan isi rumah di Singapura meningkat pada Ogos sedang inflasi dalam perkhidmatan meningkat.
Inflasi teras, yang tidak merangkumi kos pengangkutan privet dan tempat tinggal untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah di Singapura dengan lebih ketara, meningkat kepada 2.7 peratus pada Ogos berbanding tahun lalu.
Ini selepas ia mengatasi jangkaan penganalisis pada Julai untuk susut kepada 2.5 peratus, yang merupakan yang terendah dalam tempoh lebih dua tahun.
Daripada semua kategori perbelanjaan, inflasi perkhidmatan meningkat paling tinggi pada 3.3 peratus pada Ogos, daripada 2.9 peratus pada Julai.
Ini berlaku apabila perbelanjaan percutian meningkat dengan lebih kukuh manakala tambang penerbangan mencatatkan penurunan lebih kecil.
Berbanding tahun ke tahun, inflasi keseluruhan turun kepada 2.2 peratus pada Ogos berbanding 2.4 peratus pada Julai, didorong penurunan harga pengangkutan privet.
Namun, rentak harga kekal kerana inflasi teras meningkat 0.3 peratus, manakala inflasi keseluruhan meningkat 0.7 peratus.
Walaupun inflasi perkhidmatan mengalami sedikit turun naik, terutamanya oleh kos perjalanan ke luar negara, ia kekal pada aliran yang sederhana dan akan terus turun sepanjang tahun, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam laporan inflasi mereka pada 23 September.
Mereka menambah bahawa kadar pertukaran dolar Singapura yang kukuh secara beransur-ansur akan terus meredakan inflasi yang diimport.
MAS dan MTI mengekalkan ramalan inflasi mereka bagi 2024 dengan inflasi teras dijangka pada purata 2.5 peratus hingga 3.5 peratus, manakala inflasi keseluruhan akan berada dalam lingkungan antara 2 peratus dan 3 peratus.
Dalam kategori perbelanjaan lain, inflasi bagi runcit dan barangan lain naik sedikit sehingga 0.4 peratus pada Ogos berbanding tahun sebelumnya, disebabkan kenaikan harga barangan tahan lama isi rumah.
Inflasi makanan bagi Ogos tidak berubah pada 2.7 peratus kerana peningkatan dalam inflasi bagi makanan tidak dimasak diimbangi oleh kejatuhan inflasi perkhidmatan makanan.
Kenaikan harga elektrik yang lebih kecil diimbangi kenaikan harga gas yang lebih besar, yang bermakna inflasi elektrik dan gas tidak berubah pada 6.6 peratus.
Inflasi kos tempat tinggal pada Ogos turun sedikit kepada 2.9 peratus berikutan kadar kenaikan sewa rumah yang perlahan.
Sementara itu, harga pengangkutan privet turun 1 peratus pada Ogos, daripada kenaikan 0.9 peratus pada Julai.
Ini disebabkan oleh penurunan harga kereta, walaupun harga petrol meningkat pada kadar lebih perlahan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg