Advanced MedTech, sebuah firma peralatan perubatan yang merupakan anak syarikat milik penuh syarikat pelaburan pemerintah, Temasek, telah melantik Encik Wong Yau Chung (gambar) sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) barunya, berkuat kuasa 1 Oktober.
Beliau yang sebelum ini memegang jawatan ketua pegawai operasi (COO) syarikat tersebut, menyandang jawatan sebagai bakal CEO Advanced MedTech pada 1 Julai.
Encik Wong menggantikan Encik Abel Ang, yang menjadi CEO syarikat tersebut sejak 2014.
Encik Ang akan bersara sebagai CEO syarikat itu, sebagai sebahagian usaha peralihan kepimpinan yang dirancang, namun akan kekal sebagai anggota lembaga pengarah, menurut Advanced MedTech.
Perubahan kepimpinan menyusuli prestasi Advanced MedTech yang cukup memberangsangkan bagi tahun kewangan yang baru berakhir, lapor The Business Times (BT).
Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2024, syarikat tersebut memperoleh pendapatan sebanyak AS$335 juta ($455 juta), naik 15.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Tidak termasuk pendapatan berkaitan pandemik Covid-19, ia adalah peningkatan 17.4 peratus dalam pendapatan.
Pendapatan syarikat meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) sebanyak 9.5 peratus antara tahun kewangan 2022 dengan 2024, dan 16.4 peratus dalam tempoh sama, tidak termasuk hasil berkaitan Covid-19.
“Rekod (pendapatan) ini menyebabkan Advanced MedTech menjadi antara tiga pelaburan yang memberi pulangan terbaik dalam portfolio perniagaan Temasek sejak tiga tahun lalu.
“Ia adalah bukti pelaksanaan visi (kumpulan) yang berkesan, didorong oleh kepimpinan kukuh dan tumpuan strategik yang jelas,” jelas Pengerusi Advanced MedTech, Encik Philip Yeo.
Mengulas pelantikannya, Encik Wong berkata beliau “berbesar hati dan teruja untuk memimpin Advanced MedTech memasuki lembaran baru dan fasa pertumbuhan dan inovasi seterusnya”.
“Dengan sokongan pasukan kami yang sangat berbakat, saya ingin meningkatkan lagi kejayaan tinggi kami pada tahun kewangan 2024 dan terus memacu pertumbuhan dengan cara yang mampan,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg