Syarikat pelaburan pemerintah, Temasek Holdings, mengumumkan pada 25 Jun bahawa ia akan memberi $150 juta untuk latihan kemahiran dan membangunkan bakat di Singapura.
Menurut The Straits Times, untuk mengekalkan usaha dalam jangka panjang, $6 juta atau 4 peratus daripada $150 juta, akan diagihkan setiap tahun, dalam tempoh kira-kira 25 tahun.
Syarikat pelaburan Singapura, yang meraikan pencapaian 50 tahun pada 2024, berkata bahawa hadiah itu, dipanggil T-Spring yang bertujuan membina tenaga kerja supaya sektor perniagaan dapat memenuhi keperluan pasaran yang berubah.
Dana itu akan digunakan terutamanya untuk menyediakan biasiswa bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian sarjana muda atau possiswazah.
Ia juga untuk melatih semula pekerja yang berisiko kehilangan pekerjaan akibat kemajuan teknologi di samping program meningkatkan kebolehpasaran warga emas dan individu kurang upaya.
Temasek akan mengutamakan pemohon biasiswa untuk pengajian sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (Stem) dan daripada latar belakang berpendapatan rendah.
Ia menyasarkan pengambilan pelajar tahun akademik 2025/2026 untuk kumpulan pertama sarjananya.
Temasek mengumumkan demikian dalam satu kenyataan pada 25 Jun, tarikh penubuhannya dan Hari Komuniti tahunan yang menyaksikan kakitangannya menyumbang kepada masyarakat.
Majlis itu menyaksikan lebih 500 kakitangan Temasek mengambil bahagian dalam kerja sukarela seperti membersihkan rumah lebih 100 warga emas dan melukis mural di kolong blok untuk memeriahkan suasana blok bagi warga emas.
Untuk memacu inovasi di Singapura, Temasek juga akan melancarkan program persahabatan untuk menarik pakar industri sejagat bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana di sini bagi memacu pertumbuhan dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian mampan.
Sebuah kumpulan zamil Temasek akan ditubuhkan bagi memudahkan pertukaran pengetahuan dan kepakaran.
Sejak 2003, Temasek telah memperuntukkan sebahagian daripada pulangan positif bersihnya di atas kos modal yang diselaraskan risikonya sebagai bentuk hadiah kepada masyarakat.
Ia bertujuan mencapai matlamat untuk menghubungkan orang ramai, meningkatkan semangat kemasyarakatan, melindungi bumi dan memajukan keupayaan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Temasek Holdings, Encik Dilhan Pillay, menyatakan bahawa jumlah yang diberikan setiap tahun untuk T-Spring akan diselaraskan mengikut keperluan, bergantung pada jumlah yang diperlukan oleh setiap program.
Beliau berkata biasiswa itu memberi tumpuan kepada Stem kerana “kita berada dalam dunia digital sejauh yang kita lihat pada masa hadapan”.
Pengerusi Temasek Holdings, Encik Lim Boon Heng, berkata Temasek melabur untuk memperoleh pulangan mampan, khusus untuk menjaga pihak berkepentingan.
“Antara pihak berkepentingan yang kami ada ialah masyarakat secara keseluruhannya, jadi kami juga harus memainkan peranan kami untuk melihat bagaimana kami boleh meningkatkan kehidupan orang ramai,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg