GENEVA: Perniagaan kecil dan sederhana (SME), serta negara dengan ekonomi sedang membangun, dijangka menghadapi risiko penurunan pelaburan akibat ketidakpastian tarif yang berterusan, kata Setiausaha Agung, Suruhanjaya Perdagangan dan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unctad) pada 13 Oktober.
“Kami bimbang angka pelaburan akan semakin merosot,” kata Cik Rebeca Grynspan, daripada Unctad dalam temu bual di pejabatnya di Geneva.
“Kami bimbang perniagaan kecil dan sederhana akan terkesan di seluruh dunia, begitu juga negara kecil yang lebih bergantung kepada perdagangan dan pelaburan untuk menjana pertumbuhan,” tambahnya.
Walaupun kecerdasan buatan (AI) telah memacu perdagangan dan pelaburan 2025, ia masih tertumpu dan tidak melibatkan negara kecil dengan ekonomi yang sedang berkembang, ujarnya.
Laporan Unctad pada Julai mendapati pelaburan asing sedunia jatuh untuk tahun kedua berturut-turut pada 2024, dengan kebimbangan bahawa 2025 mungkin lebih teruk apabila ketegangan perdagangan menggoncang keyakinan pelabur.
Sejak beliau memegang jawatan pada Januari, keputusan tarif Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah menggoncang pasaran kewangan dan mencetuskan gelombang ketidakpastian dalam ekonomi sejagat.
Cik Grynspan berkata ramalan untuk 2026 bergantung pada sama ada ketegangan perdagangan kini akan berkembang menjadi perang perdagangan sepenuhnya, atau jika tarif lebih tinggi akan berterusan di tengah-tengah rundingan perdagangan yang sedang berlangsung.
“Terdapat ketidakpastian, namun akan ada lebih banyak kepastian. Pasaran akan menyesuaikan diri dengan keadaan terkini,” katanya.
Cik Grynspan berkata negara yang paling kurang maju di Afrika dan negara pulau kecil berada dalam keadaan lebih teruk dan kurang berdaya tahan di tengah-tengah ketidakpastian perdagangan.
Ini kerana mereka menghadapi tarif lebih tinggi berbanding negara maju.
Walaupun Kesatuan Eropah (EU) telah mencapai perjanjian yang menetapkan cukai 15 peratus ke atas kebanyakan barang yang dieksport ke Amerika, tarif itu sering lebih tinggi bagi negara yang dikategorikan sebagai paling kurang maju.
Sebagai contoh, Laos berdepan tarif 40 peratus.
Cik Grynspan mendesak Amerika supaya mengecualikan negara rentan daripada tarif lebih tinggi.
Pada Julai, Lesotho, sebuah negara kecil di Afrika, menerima kadar tarif yang diubah suai sebanyak 15 peratus, selepas ancaman awal Encik Trump untuk mengenakan tarif 50 peratus. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg