HONG KONG: Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, AirAsia X, telah menurunkan tambang sebanyak 5 peratus sejak 15 Jun dan akan terus menyemak harga mingguan selaras dengan penurunan kos bahan api jet, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Bo Lingam, pada 22 Jun.

Pengurangan ketegangan di Timur Tengah hasil perjanjian damai awal antara Amerika Syarikat dengan Iran telah memberi kelegaan kepada industri penerbangan, dengan harga bahan api menjunam secara drastik daripada paras tinggi pada Mac.

“Industri ini benar-benar terjejas akibat kenaikan harga bahan api justeru diharapkan keadaan di Timur Tengah kekal seperti hari ini,” kata Encik Lingam, sambil memaklumkan bahawa tempahan meningkat sepanjang hujung minggu.

Bahan api jet Singapura didagangkan pada kira-kira AS$112 setong ($144.77) pada 19 Jun selepas beberapa penurunan harga menyusuli perjanjian damai sementara tersebut.

Harga itu lebih tinggi daripada paras sebelum konflik itu, sekitar AS$80 setong, tetapi jauh lebih rendah berbanding rekod AS$242 setong pada 30 Mac.

“Apabila harga bahan api menurun dari minggu ke minggu, kami juga akan menyemak semula tambang,” kata Encik Lingam.

AirAsia X terjejas teruk oleh lonjakan harga bahan api, mencatatkan kerugian pada suku pertama selepas mengurangkan 10 peratus penerbangan dan menaikkan surcaj bahan api bagi mengawal kos.

Penganalisis berkata syarikat penerbangan tambang rendah antara yang paling terjejas kerana pelanggan mereka peka terhadap harga dan cenderung mengurangkan perbelanjaan ketika inflasi tinggi.

Encik Lingam berkata beberapa laluan penerbangan terpaksa digantung sepenuhnya kerana kos bahan api yang tinggi menjadikannya “tidak lagi menguntungkan.”

Sejak tiga bulan lalu, syarikat tersebut giat mengurangkan penerbangan yang kurang menguntungkan, mengalihkan permintaan, serta terus merundingkan kontrak bersama vendor dan pemajak pesawat, katanya.

Beliau menegaskan bahawa proses penstrukturan semula dan perundingan semula kontrak itu masih berjalan.

AirAsia X optimis kapasiti operasinya akan pulih sepenuhnya menjelang Ogos, walaupun laluan yang terus mencatat kerugian tidak akan dihidupkan semula.

AirAsia X dijadualkan menerima tujuh pesawat Airbus A321LR pada 2027 untuk laluan jarak sederhana, di samping ketibaan pesawat Airbus A220 yang pertama pada tahun yang sama, yang akan ditempatkan di Filipina.

Pada Mei, AirAsia X telah mengumumkan tempahan tetap bagi 150 pesawat A220 buatan Canada, dengan 150 opsyen untuk menambah jet yang lebih besar, jika Airbus membuatnya. – Agensi berita.