PARIS: Airbus mengurangkan sasaran penghantaran pesawat komersial bagi 2025 kepada sekitar 790 unit pada 3 Disember, iaitu 30 unit lebih rendah daripada jangkaan sebelum ini.
Namun, syarikat itu tetap mengekalkan sasaran kewangannya meskipun berdepan isu mutu melibatkan panel badan utama pesawat, atau fiuslaj, pada model pesawat popularnya, A320.
Reuters sebelum ini melaporkan mengenai masalah tersebut pada 1 Disember, susulan panggilan balik kecemasan melibatkan ribuan pesawat A320 yang memerlukan perubahan perisian pada hujung minggu lalu.
Penganalisis berkata penurunan sasaran itu membantu meredakan kebimbangan selepas minggu yang mencabar bagi pengeluar pesawat terbesar dunia itu, hanya dua bulan selepas A320 memintas Boeing 737 sebagai model pesawat dengan jumlah penghantaran tertinggi dalam sejarah.
“Daripada 30 pesawat yang dikeluarkan daripada panduan penghantaran tahun ini (2025), tidak semuanya dijangka memerlukan penukaran alat ganti,” kata penganalisis daripada bank pelaburan sejagat, Jefferies, dalam nota kepada para pelabur.
Ini kerana kenyataan Airbus pada 3 Disember tidak menyebut sebarang isu berkaitan enjin yang menyebabkan kelewatan tambahan.
Bekalan enjin menjadi tumpuan utama apabila pengeluar pesawat berusaha meningkatkan pengeluaran pesawat baru, sementara syarikat penerbangan bersaing dengan barisan pemasangan untuk mendapatkan bekalan bagi menangani tempoh pembaikan enjin yang panjang.
Jurutera Airbus telah menemui kerosakan lebih mendalam pada set panel fiuslaj A320 ketika mereka membuat persiapan bagi memeriksa ratusan pesawat, menurut satu pembentangan kepada syarikat penerbangan yang dilihat oleh Reuters.
Sebanyak 628 pesawat dijadualkan untuk diperiksa, namun menurut Airbus, hanya sebahagian daripada pesawat ini memerlukan tindakan lanjut.
Bahagian yang terjejas mempunyai ketebalan yang salah, susulan proses regangan dan pengilangan yang dijalankan oleh pengeluar komponen pesawat antarabangsa Sofitec Aero yang berpangkalan di Seville, Sepanyol.
Sofitec Aero tidak memberi sebarang respons terhadap permintaan untuk mengulas lebih lanjut.
Menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Airbus, Encik Guillaume Faury, pada 2 Disember, masalah panel fiuslaj tersebut turut menjejas penghantaran pada November.
Beliau turut memberitahu Reuters keputusan mengenai penghantaran pada Disember akan dibuat dalam tempoh beberapa jam atau hari.
Syarikat itu dijadualkan untuk menerbitkan data penghantaran November pada 5 Disember.
Sumber industri memberitahu Reuters Airbus telah membuat penghantaran sebanyak 72 pesawat pada November – iaitu lebih rendah daripada jangkaan, namun sasaran kewangannya bagi 2025 tidak berubah.
Airbus menyelaras pendapatan operasi kepada sekitar AS$8.2 bilion ($10.63 bilion) dan aliran tunai bebas sekitar 4.5 bilion euro ($6.79 bilion).
Penganalisis berkata keputusan Airbus mengekalkan sasaran kewangan meskipun jumlah penghantaran lebih rendah menunjukkan syarikat itu berpotensi mengatasi unjuran ramalan bagi keseluruhan tahun.
Manakala, penganalisis daripada Citi menganggarkan penghantaran lebih rendah itu dijangka menjejas keuntungan syarikat sebanyak 400 hingga 450 juta euro dan mengurangkan tunai sebanyak 600 juta euro.
Boeing, yang sedang pulih daripada krisis korporat dan industri yang menjejas pesawat saingan Airbus, 737 MAX, berkata pada 2 Disember ia menjangka aliran tunai positif pada 2026, sekali gus menaikkan sahamnya sebanyak 10 peratus. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg