Topik diikuti
Pergi ke BHkuAkaun simpanan OCBC S’pura kini sokong mata wang ringgit
Akaun simpanan OCBC S’pura kini sokong mata wang ringgit
OCBC akan membenarkan pelanggan menyimpan ringgit Malaysia dalam akaun simpanan pelbagai mata wang mereka di Singapura mulai 23 Oktober.
Langkah tersebut menjadikan OCBC bank bukan Malaysia pertama yang menawarkan perkhidmatan itu.
Dalam satu kenyataan pada 21 Oktober, bank itu berkata pelanggan yang mempunyai akaun simpanan sejagat dan akaun simpanan global premier OCBC boleh menukar dolar Singapura kepada ringgit dan menyimpan sehingga RM50,000 ($15,651) dalam akaun mereka. Tiada baki minimum diperlukan.
Mereka juga boleh memperoleh faedah ke atas baki ringgit mereka, ciri yang tiada pada dompet digital pelbagai mata wang.
Pelanggan akan mendapat faedah 1 peratus setahun ke atas baki ringgit mereka hingga 30 Jun 2027. Selepas itu, faedahnya adalah 0.5 peratus setahun.
Antara ciri lain ialah pelanggan boleh berbelanja terus di Malaysia menggunakan kad debit OCBC yang dipautkan tanpa yuran transaksi mata wang asing dan mengeluarkan wang tunai dalam ringgit dari mesin ATM OCBC di Malaysia tanpa caj tambahan.
Dengan penambahan itu, akaun simpanan pelbagai mata wang OCBC kini menyokong 11 jenis mata wang.
Bank itu berkata peluang untuk menyimpan ringgit dalam akaun bank di luar Malaysia adalah terhad kerana mata wang itu dikawal rapi.
Langkah itu diambil ketika perbelanjaan penduduk Singapura di Malaysia semakin meningkat.
Menurut OCBC, nilai transaksi yang dibuat oleh pelanggannya merentasi Tambak Johor telah meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 25 peratus sejak 2022.
Malaysia juga destinasi perbelanjaan luar negara yang paling popular dalam kalangan pelanggan bank itu dengan satu daripada tiga transaksi luar negara mereka dibuat di sana.
Perbelanjaan terbesar adalah untuk makan dan membeli-belah.
Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang akan beroperasi tidak lama lagi dijangka meningkatkan lagi perjalanan dan perbelanjaan rentas sempadan.
Ketua Pengurusan Kekayaan Kumpulan OCBC, Cik Tan Siew Lee, berkata tawaran baharu itu akan membolehkan pelanggan menukar wang mereka apabila kadar pertukaran menguntungkan, sambil memperoleh faedah ke atas baki ringgit mereka.