Topik diikuti
Pergi ke BHkuOCBC terajui senarai Bank Berprestasi Terbaik Dunia Forbes, DBS di tempat kedua
Atasi firma gergasi seperti JPMorganChase, China Merchants Bank
OCBC terajui senarai Bank Berprestasi Terbaik Dunia Forbes, DBS di tempat kedua
OCBC dan DBS menduduki dua tempat teratas dalam kalangan bank dunia dalam senarai sulung World’s Top Performing Banks (Bank Berprestasi Terbaik Dunia) oleh Forbes dan Statista.
Forbes pada 11 September, menyatakan kedudukan baharu itu menilai data kewangan daripada penyedia data seperti S&P, penyelidikan dalaman serta data yang dikemukakan oleh bank.
Untuk disenaraikan, institusi kewangan perlu merupakan bank penerima deposit berlesen, yang perniagaan terasnya merangkumi pemberian pinjaman kepada pelanggan runcit atau perniagaan, serta mempunyai aset melebihi AS$3 bilion ($3.8 bilion), selain faktor lain.
Bank itu kemudian dinilai berdasarkan keuntungan, pertumbuhan dan mutu pendapatan, daya tahan modal dan pendanaan serta mutu dan kecekapan aset.
Faktor tersebut masing-masing menyumbang 30 peratus, 20 peratus, 25 peratus dan 25 peratus kepada penilaian.
Ukuran seperti kadar faedah bersih, petunjuk pertumbuhan deposit pelanggan (dalam tempoh tiga tahun), nisbah pinjaman kepada deposit dan mutu kredit digunakan untuk menilai keempat-empat faktor itu.
Tahap 1 – iaitu bank bertaraf dunia seperti OCBC dan DBS – merangkumi bank dengan jumlah aset melebihi AS$500 bilion.
Secara keseluruhan, 500 bank dari 89 negara disenaraikan dalam enam tahap, dengan OCBC dan DBS menjadi dua bank sahaja dari Singapura.
Kedua-duanya mengatasi syarikat gergasi perbankan seperti JPMorganChase yang menduduki tempat kelima dan China Merchants Bank di tempat keempat.
Turut tersenarai ialah sebuah bank dari Hong Kong, 26 dari China dan 17 dari India.
Dalam kalangan negara Asean, terdapat enam bank dari Indonesia; tujuh dari Thailand; lapan dari Malaysia; lapan dari Filipina; dan 12 dari Vietnam.
