Akauntan diiktiraf atas khidmat cemerlang selama 40 tahun
Akauntan diiktiraf atas khidmat cemerlang selama 40 tahun
Encik Sajjad Akhtar, 79 tahun, memegang jawatan rakan kongsi kanan selama 27 tahun di bekas firma perakaunan terkemuka, Arthur Andersen, di mana beliau membina kerjaya merangkumi pelbagai bidang perakaunan dan khidmat nasihat, termasuk perakaunan forensik, penilaian perniagaan, pertikaian dan banyak lagi.
Kecekalan beliau diuji apabila firma tersebut dibubarkan pada 2002.
Pada tahun yang sama, Encik Akhtar, bersama dua rakan kongsi lain, menubuhkan Corporate Advisory Partners, satu langkah yang dianggapnya sebagai antara cabaran terbesar dalam kerjayanya.
Setelah penggabungan pada 2007, firma itu dinamakan semula sebagai PKF-CAP LLP dan menyertai PKF International, salah satu rangkaian khidmat nasihat kewangan utama dunia.
Menjelang 2026, firma itu telah berkembang dengan 250 kakitangan dan 12 rakan kongsi.
Kini, Encik Akhtar berperanan sebagai Pengerusi Eksekutif PKF-CAP LLP dan juga memegang jawatan Pengerusi Sejagat PKF International.
Beliau adalah antara 106 ahli Institut Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA) yang dihormati — termasuk Anggota Seumur Hidup, Anggota 50 Tahun, dan Anggota 40 Tahun — yang diiktiraf dalam satu majlis pada 2 Mac.
Khidmat mereka selama beberapa dekad telah mengukir landskap perakaunan Singapura.
ISCA kini memiliki sekitar 43,000 anggota aktif, dengan 1,557 di antaranya telah dianugerahkan sebagai Anggota Seumur Hidup.
Mengimbau semula peristiwa mencabar itu kepada Berita Harian (BH), Encik Akhtar berkata:
“Pada awalnya, kami tidak yakin akan berjaya. Kami kekurangan sumber yang dimiliki oleh firma-firma yang sudah kukuh.
“Cabaran terbesar adalah mencari ahli profesional yang teguh memegang nilai dan piawaian yang tinggi,” kongsi Encik Akhtar.
Berucap di majlis penganugerahan yang diadakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Conrad Singapura Marina Bay, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISCA, Cik Fann Kor, berkata sumbangan anggota sedemikian telah membina “asas yang kukuh” agar seluruh komuniti bidang perniagaan dan perakaunan terus berkembang maju.
Bercakap kepada BH selepas majlis, Cik Kor berkata:
“Dalam komuniti perniagaan, anggota kami bukan sahaja terlibat dalam peranan kewangan, malah turut mendirikan tahap yang tinggi. Kami amat bertuah mempunyai anggota yang memajukan penggunaan AI dan kemampanan.
“Kami berharap dapat memanfaatkan rangkaian ini supaya terus membimbing anggota baru dan saling membantu dalam proses meningkatkan kemahiran komuniti ISCA.”
Cik Kor menambah bahawa anggota akauntan bertauliah akan kekal relevan dan dipercayai walaupun teknologi Kecerdasan Buatan (AI) semakin pesat berkembang.
“Walaupun AI dapat mengautomasikan dan membantu akauntan dalam pelbagai peranan, ia tidak dapat menggantikan pertimbangan manusia, tanggungjawab dan kepercayaan,” jelasnya.
Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Memperkukuh Firma Kecil dan Sederhana ISCA, Encik Helmi Ali Talib, berkata:
“Majlis tahunan ini bukan sekadar mengiktirifkan perkhidmatan anggota lama ISCA, malah menghargai sumbangan mereka kepada masyarakat.”
Tambah Encik Helmi, yang pernah berkhidmat di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dari 2009 hingga 2019: “Pengiktirafan ini hanya diberikan kepada individu yang telah memberikan sumbangan yang cemerlang dan ketara kepada kerjaya perakaunan serta masyarakat.”
Contohnya, Encik Akhtar turut menyumbang bakti di beberapa badan bukan untung dan lembaga berkanun, termasuk Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), di mana beliau membantu dari aspek kewangan, perakaunan, dan audit.
“Saya menganggap peranan-peranan ini sebagai satu bentuk bakti kepada masyarakat,” kongsinya.
Turut diiktirafkan sebagai Anggota Seumur Hidup ialah Presiden dan CEO Kumpulan SSA, Encik Suhaimi Salleh.
Baginya, pengiktirafan tersebut bukan sekadar menghargai sumbangan karyawan industri perakaunan, malah juga melambangkan perkembangan kerjaya perakaunan.
“Bidang perakaunan telah berkembang daripada tugas mencatat transaksi kewangan kepada perakaunan forensik dan juga pengguna AI,” katanya.
Beliau menggalakkan komuniti Melayu dan Muslim untuk menceburi bidang perakaunan, kerana ia membuka peluang kepada pelbagai kerjaya profesional bertauliah, serta memberi ruang untuk menyumbang kepada masyarakat dengan memperkasa kemahiran tersebut.

