Topik diikuti
Pergi ke BHkuAkses Internet Singtel, StarHub terganggu akibat gangguan khidmat fiber
Akses Internet Singtel, StarHub terganggu akibat gangguan khidmat fiber
Pelanggan SingTel dan StarHub mungkin mengalami gangguan akses Internet akibat gangguan perkhidmatan fiber, kata kedua-dua syarikat telekomunikasi itu dalam hantaran media sosial berasingan pada 15 September.
Dalam satu hantaran Facebook, StarHub menyatakan sesetengah pelanggannya mungkin mengalami gangguan jalur lebar akibat masalah pemotongan kabel fiber yang turut menjejaskan beberapa pengendali lain, tetapi tidak menyatakan lokasi pemotongan tersebut.
Secara berasingan, SingTel menyatakan pihaknya telah dimaklumkan oleh NetLink Trust mengenai satu gangguan perkhidmatan fiber di Bishan, yang mungkin menjejaskan pelanggannya di kawasan tersebut.
Kedua-dua syarikat telekomunikasi itu berkata mereka sedang bekerjasama dengan NetLink Trust untuk menangani isu itu.
Di Downdetector, SingTel mencatatkan sebanyak kira-kira 120 laporan gangguan perkhidmatan pada kemuncaknya sekitar 2.30 petang, manakala StarHub mencatatkan 91 laporan sekitar 1.40 petang.
Dalam kenyataan di laman webnya pada 15 September, NetLink Trust menyatakan sekitar 1,200 pengguna Internet di Bishan dan Thomson mungkin mengalami gangguan khidmat jalur lebar akibat gangguan perkhidmatan fiber.
NetLink Trust mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan infrastruktur rangkaian fiber pasif bagi Rangkaian Jalur Lebar Seluruh Singapura.
“Sekiranya perkhidmatan anda terjejas akibat insiden ini, kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran anda semasa kami bekerjasama dengan Penyedia Perkhidmatan Internet anda untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin,” kata NetLink Trust, dalam satu hantaran yang dikemas kini pada 2.35 petang (15 September).