Topik diikuti
Pergi ke BHkuAkses Internet Singtel, StarHub terganggu akibat isu khidmat fiber
Akses Internet Singtel, StarHub terganggu akibat isu khidmat fiber
Pelanggan SingTel dan StarHub mungkin mengalami gangguan akses Internet akibat masalah perkhidmatan fiber, kata kedua-dua syarikat telekomunikasi itu dalam hantaran media sosial berasingan pada 15 September.
Dalam satu hantaran di Facebook, StarHub menyatakan bahawa sesetengah pelanggannya mungkin mengalami gangguan jalur lebar akibat masalah pemotongan kabel fiber yang turut menjejas beberapa pengendali lain, tetapi tidak menyatakan lokasi pemotongan tersebut.
Secara berasingan, SingTel menyatakan bahawa pihaknya telah dimaklumkan oleh NetLink Trust mengenai satu gangguan perkhidmatan fiber di Bishan, yang mungkin menjejas sesetengah pelanggannya di kawasan tersebut.
Kedua-dua syarikat telekomunikasi itu berkata mereka sedang bekerjasama dengan NetLink Trust untuk menangani isu itu.
Di platform pemantauan Downdetector, SingTel mencatatkan kira-kira 120 laporan gangguan perkhidmatan pada kemuncaknya sekitar 2.30 petang, manakala StarHub mencatatkan 91 laporan sekitar 1.40 petang.
Dalam kenyataan di laman webnya pada 15 September, NetLink Trust berkata sekitar 2,000 pengguna Internet di Bishan dan Thomson telah mengalami gangguan Internet akibat kabel fiber yang rosak ekoran kerja pembinaan.
NetLink Trust mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan prasarana rangkaian fiber pasif bagi Rangkaian Jalur Lebar Seluruh Singapura.
“Sekiranya perkhidmatan anda terjejas akibat insiden ini, kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran anda semasa kami bekerjasama dengan penyedia erkhidmatan Internet anda untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin,” kata NetLink Trust, dalam satu hantaran yang dikemas kini pada 2.35 petang (15 September).
Dalam satu hantaran pada 5 petang, 15 September, syarikat itu menyatakan bahawa siasatan awal menunjukkan beberapa kabel gentian NetLink telah rosak semasa kerja-kerja pembinaan yang dijalankan oleh kontraktor pihak ketiga, yang tidak dilantik oleh NetLink Trust.
“Kami sedang menyiasat keadaan yang membawa kepada kejadian itu. Pasukan pemulihan kami berada di lokasi dan kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan,” kata NetLink Trust.
Ia menambah bahawa perkhidmatan dijangka pulih sepenuhnya menjelang pagi 16 September, kecuali jika berlaku keadaan di luar jangkaan, mengambil kira tahap kerosakan pada kabel berkenaan.
