Alibaba Investment telah menjual lebih 151 juta saham Singapore Post (SingPost), langkah yang mengurangkan lebih separuh pegangan syarikat itu dalam syarikat perkhidmatan pos Singapura tersebut.
Alibaba Investment – anak syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba – menjual 151.3 juta saham SingPost pada harga $64.4 juta, atau 42.6 sen sesaham, dalam satu perjanjian luar pasaran.
Demikian menurut satu kenyataan selepas pasaran saham ditutup pada 9 September.
Penjualan tersebut mengurangkan pegangan Alibaba dalam SingPost daripada 11.3 peratus kepada 4.6 peratus.
Dengan itu, Alibaba kini bukan lagi pemegang saham besar dalam SingPost.
Sebelum penjualan tersebut, Alibaba merupakan pemegang saham kedua terbesar SingPost dengan 255.1 juta saham, berdasar laporan tahunan terkini syarikat Singapura itu.
Pemegang saham tunggal terbesar SingPost ialah Singtel yang memiliki 494 juta saham, atau kepentingan 22 peratus, lapor The Straits Times (ST).
Alibaba mula melabur dalam SingPost pada 2014, membeli 10.3 peratus kepentingan pada harga $312.5 juta, iaitu $1.42 sesaham, sedang syarikat itu berusaha mengembangkan operasi e-dagang antarabangsanya di rantau Asia-Pasifik.
Pada 2016, Alibaba meningkatkan pegangan dalam SingPost kepada 14.5 peratus pada harga sekitar $187 juta, atau $1.74 sesaham.
Pada Jun 2024, syarikat itu menjual 72.5 juta saham pada harga $33.3 juta, atau 46 sen sesaham, mengurangkan pegangannya kepada 11.3 peratus.
Ini sebelum SingPost mengumumkan pada Disember 2024 bahawa ia telah memecat dua eksekutif kanan, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Encik Vincent Phang, berhubung pengendalian tidak memuaskan terhadap aduan pemberi maklumat.
Seorang lagi eksekutif syarikat itu diberhentikan beberapa minggu kemudian.
Penjualan terbaru Alibaba dibuat di tengah-tengah usaha penyusunan semula di SingPost yang melibatkan penjualan aset bukan teras, agar ia dapat memberi tumpuan kepada perkhidmatan pejabat pos dan meningkatkan modal.
SingPost menjual 10 rumah kedai HDB pada harga $55.5 juta pada Ogos, sebulan selepas ia menjual keseluruhan perniagaan penghantaran barangan yang dijalankan melalui Famous Holdings dan Rotterdam Harbour Holding pada harga sekitar $177.9 juta.
Pada Mac, SingPost turut menjual perniagaan logistik Australia, Freight Management Holdings (FMH), pada harga A$1.02 bilion ($862 juta).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg