Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Allianz pertimbang semak tawaran beli saham majoriti Income

Ini selepas pemerintah S’pura sekat cadangan perjanjian atas kebimbangan mengenai struktur perjanjian
Oct 15, 2024 | 1:27 PM
Income dan syarikat induknya, NTUC Enterprise, berkata mereka akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan relevan untuk memutuskan tindakan seterusnya.
Income dan syarikat induknya, NTUC Enterprise, berkata mereka akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan relevan untuk memutuskan tindakan seterusnya. - Foto fail

Syarikat insurans Jerman, Allianz, berkata ia akan mempertimbangkan menyemak struktur urus niaga yang dicadangkan untuk ia memperoleh pegangan majoriti dalam Income Insurance.

Ini selepas pemerintah Singapura menyekat perjanjian antara dua syarikat insurans itu atas kebimbangan mengenai struktur perjanjian tersebut dan keupayaan Income meneruskan misi sosialnya.

Allianz berkata pada 14 Oktober bahawa ia menghormati pendirian pemerintah Singapura dan akan menilai keadaan semasa bersama Income dan syarikat induknya, NTUC Enterprise.

Income dan NTUC Enterprise juga berkata mereka akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan relevan bagi memutuskan tindakan seterusnya, lapor The Straits Times.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berkata di Parlimen pada 14 Oktober bahawa pemerintah memutuskan untuk tidak meneruskan perjanjian itu dalam bentuknya sekarang kerana tidak memenuhi kepentingan awam.

Pertama, terdapat keraguan mengenai keupayaan Income terus memenuhi misi sosialnya.

Kedua, cadangan Allianz untuk melaksanakan pengurangan modal bagi mengembalikan $1.85 bilion kepada pemegang saham, dalam tiga tahun pertama selepas perjanjian itu selesai, tidak sejajar dengan jaminan awal yang dibuat oleh Income.

Berikutan keputusan pemerintah untuk menyekat urus niaga tersebut, Akta Insurans akan dipinda segera untuk membolehkan kelulusan itu ditahan.

Ini akan membuka jalan untuk Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mempertimbangkan pandangan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) bagi permohonan masa depan berkaitan syarikat insurans yang merupakan koperasi atau dikaitkan dengan koperasi.

NTUC Enterprise, yang memiliki hampir 73 peratus Income, berkata ia akan mengkaji dengan teliti implikasi kenyataan Encik Tong dan pindaan ke atas Akta Insurans.

Ia juga berkata ia secara konsisten bertindak dengan niat baik untuk melindungi kepentingan pemegang saham, pemegang polisi dan pekerja Income.

Syarikat itu juga menambah bahawa ia “percaya tawaran Allianz akan membolehkan Income Insurance menjadi lebih relevan dan berdaya tahan pada jangka panjang, untuk memenuhi komitmen sosial, dan kewajipannya kepada pemegang polisinya”.

Income juga berkata ia “tetap komited untuk memperkasa kesejahteraan kewangan rakyat Singapura”.

Peguam tadbir urus, Profesor Mak Yuen Teen daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata perjanjian itu mungkin tidak melindungi dengan mencukupi matlamat sosial Income selepas Allianz memperoleh pegangan majoriti.

Pengurangan modal mungkin juga merupakan cara bagi Allianz membantu membiayai perjanjian itu, dan ini boleh menjejaskan keupayaan Income mencapai matlamat sosialnya.

Mungkin ini sebabnya Allianz sanggup membayar harga tinggi dan pada masa sama mengharapkan pulangan pelaburan yang tinggi, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg