Secara lazimnya, urus niaga perolehan syarikat tidak mendapat perhatian besar.
Namun, tawaran pembelian Income Insurance oleh syarikat Jerman, Allianz, telah menarik perhatian ramai hingga membawa kepada keprihatinan beberapa Anggota Parlimen (AP) di Parlimen pada 6 Ogos.
Pada 17 Julai, Allianz telah mengumumkan tawaran umum prasyarat untuk membeli 51 peratus saham Income Insurance pada harga $40.58 sesaham dalam satu perjanjian bernilai $2.2 bilion.
Meskipun tawaran tersebut sedang menunggu kelulusan kawal selia, ia telah mencetuskan sentimen bercampur-campur dalam pasaran, khususnya keprihatinan berhubung tanggungjawab sosialnya dan sama ada polisi insuransnya akan kekal dimampu milik.
Beberapa karyawan, termasuk Duta Kelana di Kementerian Ehwal Luar (MFA), Profesor Tommy Koh, dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Income dan Mantan Kumpulan CEO NTUC Enterprise, Encik Tan Suee Chieh, telah mengkritik langkah tersebut.
Ini memandangkan Income, sebuah syarikat koperatif yang ditubuhkan pada 1970 untuk menyediakan warga Singapura, terutamanya pekerja yang kurang berkemampuan, dengan insurans penting dan mampu milik, akan dijual kepada sebuah firma asing.
Kebimbangan tercetus sama ada premium insurans Income akan kekal dimampu milik dan sama ada sebuah syarikat yang diasaskan di Singapura sepatutnya dijual kepada firma asing.
Semasa berucap di Parlimen pada 6 Ogos, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, berkata beliau memahami perasaan orang awam.
Bagaimanapun katanya, pasaran insurans sangat berbeza sekarang berbanding semasa Income pertama kali ditubuhkan pada 1970 dan disebabkan itu, pilihan yang lebih mampan amat diperlukan untuk membiayai kos operasi Income.
“Pilihan Income pada mulanya adalah untuk mengekalkan pegangan majoriti dan mendapatkan pemilikan tempatan tetapi ia tidak dapat mencari rakan kongsi yang bersedia.
“Oleh itu, ia telah menilai perjanjian dengan Allianz memberikan penjajaran kepentingan terbaik,” kata Encik Tan.
NTUC Enterprise – syarikat induk Income – telah menjelaskan perjanjian itu bermatlamat merangsang dan memperkukuh syarikat itu agar kekal relevan dan meneruskan misi sosialnya dalam pasaran yang sengit.
Pengerusi NTUC Enterprise, Encik Lim Boon Heng, memberi keyakinan bahawa NTUC Enterprise akan terus menyokong Income dan memastikan ia terus mencapai objektif sosialnya walaupun selepas penjualan saham majoriti kepada Allianz.
Pada 5 Ogos, Presiden NTUC, Cik K Thanaletchimi, dan Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata NTUC akan memastikan Income mengekalkan jaminan untuk menjadikan kedua-dua produk insurans Income boleh dimampui ahli-ahlinya.
Encik Tan pada 6 Ogos berkata walaupun pemerintah menghargai peranan koperasi dan perusahaan sosial di Singapura, mereka juga mesti beroperasi dengan cara yang mampan.
“Sekiranya perusahaan sosial tidak dapat mengekalkan dirinya dari segi kewangan dan subsidi pemerintah diperlukan untuk menyokong entiti itu, maka kita perlu mempertimbangkan sama ada perkhidmatan sedemikian patut disediakan oleh pemerintah.
“Pembayar cukai juga mesti bersedia untuk membayar bahagian cukai mereka untuk membiayai perkhidmatan itu,” kata Encik Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg