Cadangan perjanjian antara syarikat insurans Jerman Allianz dan syarikat insurans tempatan Income Insurance dibatalkan atas keprihatinan mengenai struktur perjanjian dan keupayaan Income untuk meneruskan misi sosialnya.
Pembatalan cadangan itu diumumkan di Parlimen pada 14 Oktober oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Menteri Kedua Undang-undang Encik Edwin Tong.
“Pemerintah telah menilai urus niaga yang dicadangkan dan telah memutuskan bahawa ia tidak akan menjadi kepentingan awam untuk urus niaga itu, dalam bentuk semasa, diteruskan,” katanya.
Susulan ini, pemerintah akan meminda Akta Insurans atas dasar segera untuk membolehkan kelulusan cadangan itu ditahan.
Ini akan membolehkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mempertimbangkan pandangan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam permohonan masa hadapan berkaitan penanggung insurans yang merupakan koperasi atau dikaitkan dengan koperasi.
Encik Tong berkata, pemerintah tidak mempunyai kebimbangan mengenai kedudukan atau kesesuaian Allianz untuk peroleh pegangan majoriti dalam Income.
Kebimbangan adalah mengenai terma dan struktur urus niaga khusus tersebut, terutama seperti yang dilihat dalam konteks pelaksanaan pengkorporatan sebelumnya.
Dalam satu catatan Facebook pada 14 Oktober, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong berkata pemerintah menyokong langkah untuk mempunyai rakan kongsi yang kukuh untuk Income bagi mengukuhkan asas modal dan kedudukan pasarannya.
Tetapi, beliau menekankan bahawa pemerintah prihatin tentang struktur dan syarat transaksi khusus tersebut.
“Kami tidak mempunyai keprihatinan mengenai kedudukan atau kesesuaian Allianz untuk memperoleh pegangan majoriti dalam Income. Allianz ialah syarikat insurans global utama dan pengurus aset yang boleh membawa kekuatan kewangan dan kepakaran kepada Income.
“Keprihatinan kami adalah mengenai struktur dan terma urus niaga khusus ini, terutamanya dalam konteks jaminan yang telah diberikan oleh Income kepada MCCY apabila syarikat itu dikorporatkan pada 2022,” kata Encik Wong.
Beliau menambah walaupun urus niaga tersebut tidak akan diteruskan, pemerintah tetap terbuka kepada perjanjian baru yang boleh dilakukan oleh Income dengan Allianz atau rakan kongsi lain, selagi keprihatinan pemerintah dapat ditangani sepenuhnya.
Semasa bercakap di Parlimen, Encik Tong berkata penilaian urus niaga mesti melangkaui pertimbangan berhemat.
Pengumuman ini berlaku tiga bulan selepas Allianz pada 17 Julai membuat tawaran untuk membeli kepentingan mengawal sekurang-kurangnya 51 peratus dalam Income, dalam perjanjian yang bernilai $2.2 bilion.
Langkah menyekat cadangan itu dibuat selepas MAS memberi MCCY maklumat baru mengenai cadangan urus niaga tersebut berikutan sidang Parlimen pada 6 Ogos di mana isu itu dibahaskan.
Ini termasuk maklumat yang telah dikemukakan oleh Allianz, Income dan NTUC Enterprise (NE) kepada MAS mengenai inisiatif untuk mengoptimumkan modal Income selepas perjanjian itu selesai.
Rancangan itu adalah untuk Income jalankan perniagaan insuransnya dengan lebih cekap, tanpa perlu memegang modal sebanyak yang ia lakukan sekarang.
Oleh itu, Allianz mengunjurkan bahawa Income boleh memulangkan kira-kira $1.85 bilion tunai kepada para pemegang sahamnya dalam tempoh tiga tahun pertama selepas selesai urus niaga.
Mengenai ini, Encik Tong menyatakan bahawa MCCY tidak melihat maklumat ini lebih awal.
Pada 2023, Income telah membawa lebihan kira-kira $2 bilion selepas ia dikorporatkan. Ini memerlukan pengecualian daripada Seksyen 88 Akta Koperasi, yang telah diluluskan oleh MCCY ketika itu.
Tetapi cadangan pengurangan modal Allianz bertentangan dengan premis di mana pengecualian di atas diberikan, kata Encik Tong.
Jika tidak kerana pengecualian itu, jumlah $2 bilion itu akan pergi ke Akaun Pembubaran Koperasi untuk memberi manfaat kepada pergerakan koperasi di Singapura secara keseluruhan, katanya. Ini dilindungi di bawah rangka kerja undang-undang untuk penggulungan koperasi.
Kedua, MCCY tidak berpuas hati bahawa Income akan dapat terus memenuhi misi sosialnya selepas perjanjian itu.
Tiada peruntukan mengikat atau perlindungan struktur yang jelas dalam perjanjian itu untuk memastikan misi sosial Income akan dilaksanakan, kata Encik Tong.
Juga tidak ada kejelasan apa yang mungkin dilakukan oleh Income selepas pengekstrakan modal, sama ada melaraskan atau memangkas portfolio insuransnya.
Kedua-dua faktor di atas, apabila diambil bersama dengan fakta bahawa syarikat induk Income - NE - akan menjadi pemegang saham minoriti selepas perjanjian itu, secara kumulatif menimbulkan risiko yang MCCY fikir “tidak boleh diterima”.
“
“Kami tidak mempunyai keprihatinan mengenai kedudukan atau kesesuaian Allianz untuk memperoleh pegangan majoriti dalam Income. Allianz ialah syarikat insurans global utama dan pengurus aset yang boleh membawa kekuatan kewangan dan kepakaran kepada Income. Keprihatinan kami adalah mengenai struktur dan terma urus niaga khusus ini, terutamanya dalam konteks jaminan yang telah diberikan oleh Income kepada MCCY apabila syarikat itu dikorporatkan pada 2022.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg