Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alvin Tan: Usaha perkukuh hubungan S’pura-Amerika Latin kian penting

Rantau itu kian diutama di tengah-tengah perdagangan sejagat tidak menentu
Jul 31, 2025 | 6:27 PM
menteri negara, Encik Alvin Tan
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan.  - Foto ST

Singapura sedang memperkukuh hubungan dengan rantau Amerika Latin, dan usaha tersebut menjadi semakin penting dan mendesak dalam keadaan perdagangan sejagat tidak menentu.

Demikian dinyatakan Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan.

Bercakap semasa Persidangan Latam (ringkasan bagi Amerika Latin) anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) pada 31 Julai, beliau menyatakan Singapura mesti terus menjalin hubungan dengan rakan kongsi sedia ada dan baru.

“Dalam dunia yang mengalami corak perdagangan dan cabaran ekonomi berubah-ubah, Amerika Latin menonjol sebagai sebuah rantau berpotensi besar, yang tidak mampu diabaikan Singapura dan syarikat Singapura,” katanya.

Walaupun Singapura dan rantau Asia-Pasifik yang lebih luas berada jauh secara geografi dari Amerika Latin, Encik Tan berkata terdapat ciri-ciri serupa antara kedua-dua rantau tersebut.

Ini termasuk tenaga kerja muda dan canggih, penggunaan teknologi meluas, dan kepentingan bersama dalam bidang seperti pembangunan mampan dan inovasi.

Jumlah dagangan barangan antara Singapura dengan Amerika Latin meningkat lebih 20 peratus sepanjang tempoh setahun lalu, daripada $28.5 bilion kepada $35.3 bilion, dengan peningkatan dalam perdagangan mesin, elektronik, petroleum dan produk pertanian, katanya.

Perdagangan perkhidmatan antara Singapura dengan Amerika Latin juga semakin berkembang, khususnya dalam khidmat kejuruteraan, telekomunikasi, khidmat komputer dan maklumat, serta pengangkutan.

“Sistem perdagangan kami yang semakin kukuh di peringkat institusi akan terus menggalak dan menyokong aliran ini,” tambah Encik Tan.

Beliau turut menarik perhatian bahawa Perjanjian Perdagangan Bebas Perikatan Pasifik-Singapura (Pasfta) telah berkuat kuasa pada Mei 2025 bagi Singapura, Chile dan Peru.

Ini merupakan Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) ke-28 Singapura dan adalah satu pencapaian penting dalam hubungan ekonomi Singapura dengan Perikatan Pasifik, lapor The Straits Times (ST).

“Kami berharap anggota Perikatan Pasifik lain, iaitu Mexico dan Colombia, akan menyelesaikan proses pengesahan mereka tidak lama lagi.

“Pasfta akan menjadi FTA pertama antara Singapura dengan Colombia, sebaik sahaja Colombia mengesahkan perjanjian ini,” kata Encik Tan

Menurut Bank Dunia, empat negara anggota Perikatan Pasifik – Chile, Colombia, Mexico dan Peru – mempunyai gabungan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) lebih AS$2.7 trilion ($3.5 trilion) dari segi nilai nominal, membentuk sekitar 40 peratus jumlah GDP bagi rantau Amerika Latin dan Caribbean.

Encik Tan juga berkata Singapura menantikan Perjanjian Perdagangan Bebas Mercosur-Singapura (MCSFTA) berkuat kuasa – satu perjanjian antara Singapura dengan empat negara Amerika Latin iaitu Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay – sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Mercosur.

“(MCSFTA) akan menjadi FTA pertama antara Mercosur dengan sebuah negara Asia Tenggara, dan akan membuka peluang pasaran baru bagi perniagaan kita dengan blok Amerika Selatan yang besar ini,” katanya.

Dalam bidang ekonomi hijau, Encik Tan menambah bahawa Singapura telah menandatangani perjanjian pelaksanaan mengenai kerjasama kredit karbon di bawah Artikel 6 Perjanjian Paris dengan tiga rakan kongsi Amerika Latin – Peru, Chile dan Paraguay – pada separuh pertama 2025.

“Kerjasama ini akan meningkatkan pelaburan, mewujudkan pekerjaan dalam ekonomi hijau, menggalak pembangunan mampan, dan memudahkan pemindahan teknologi, di samping membantu kita mencapai sasaran iklim masing-masing,” katanya.

Kerjasama ini akan meningkatkan pelaburan, mewujudkan pekerjaan dalam ekonomi hijau, menggalak pembangunan mampan, dan memudahkan pemindahan teknologi, di samping membantu kita mencapai sasaran iklim masing-masing.
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan) Encik Alvin Tan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg