SAN FRANCISCO: Amazon merancang memberhentikan sehingga 30,000 jawatan korporat mulai 28 Oktober.
Ia selaras dengan langkah syarikat itu mengurangkan perbelanjaan dan mengimbangi pengambilan pekerja berlebihan yang berlaku ketika berdepan dengan permintaan tinggi semasa pandemik.
Demikian menurut tiga sumber yang tahu tentang perkara itu.
Bilangan tersebut hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan 1.55 juta pekerja Amazon, tetapi hampir 10 peratus daripada sekitar 350,000 pekerja korporat syarikat itu.
Ia bakal merupakan langkah pemberhentian kerja terbesar Amazon sejak akhir 2022, ketika syarikat itu memotong sekitar 27,000 jawatan.
Amazon telah melakukan pemberhentian kerja lebih kecil sepanjang dua tahun lalu dalam pelbagai jabatan, termasuk bahagian peranti, komunikasi dan penyiaran audio.
Langkah pemberhentian kerja yang bermula minggu ini mungkin melibatkan pelbagai jabatan, termasuk sumber manusia (HR), operasi, peranti dan perkhidmatan; serta khidmat web awan Amazon Web Services (AWS), kata sumber.
Pengurus pasukan terjejas diminta menghadiri latihan pada 27 Oktober mengenai cara menyampaikan maklumat tersebut kepada kakitangan menyusuli pemberitahuan melalui e-mel yang akan mula dihantar pada pagi 28 Oktober, kata sumber tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Encik Andy Jassy, sedang melaksanakan langkah untuk mengurangkan apa yang beliau sifatkan sebagai lebihan birokrasi – iaitu proses pengurusan yang terlalu rumit – termasuk mengurangkan bilangan pengurus.
Beliau memperkenalkan talian aduan tanpa nama bagi mengenal pasti ketidakcekapan.
Ia menerima sekitar 1,500 maklum balas dan menyebabkan lebih 450 perubahan, katanya pada awal 2025.
Pada Jun, Encik Jassy berkata penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) yang kian meningkat dijangka akan menyebabkan lebih pemberhentian kerja, terutama dengan automasi tugas berulang dan rutin.
“Langkah terkini ini menandakan Amazon mungkin telah mencapai peningkatan produktiviti yang mencukupi hasil penggunaan AI dalam pasukan korporat, sekali gus menyokong pengurangan bilangan tenaga kerja secara ketara.
“Amazon juga berada di bawah tekanan jangka pendek untuk menampung pelaburan jangka panjang dalam pembangunan prasarana AI mereka,” kata penganalisis syarikat penyelidikan pasaran, eMarketer, Cik Sky Canaves.
Skop penuh bagi langkah pemotongan jawatan kali ini masih belum jelas.
Sumber berkata bilangan tersebut mungkin bertukar mengikut perubahan keutamaan kewangan Amazon.
Majalah perniagaan sejagat, Fortune, sebelum ini melaporkan bahawa jabatan HR syarikat itu mungkin menjadi sasaran dengan pengurangan sekitar 15 peratus pekerja.
Amazon telah memulakan sebuah program pada awal 2025, meminta pekerja kembali ke pejabat lima hari seminggu.
Langkah itu antara yang paling ketat dalam sektor teknologi, namun ia gagal menghasilkan kadar peletakan jawatan yang mencukupi, kata dua sumber.
Mereka menambah, ini salah satu lagi sebab bilangan pemberhentian itu begitu besar.
Sebahagian pekerja yang tidak memasuki pejabat setiap hari kerana tinggal jauh dari pejabat korporat atau atas sebab lain, telah diberitahu mereka dianggap telah berhenti secara sukarela dan mesti meninggalkan syarikat itu tanpa sebarang pampasan, sekali gus menjimatkan wang syarikat itu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg