Agoda telah memohon maaf kerana memasukkan klausa “tidak wajar” dalam perjanjian pampasan pemberhentian yang menghalang pekerja yang diberhentikan daripada menghubungi kesatuan sekerja, agensi pemerintah dan badan berkanun.
Ini susulan perbincangan antara platform pelancongan dalam talian itu dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaa (NTUC) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Perindustrian dan Perkhidmatan Singapura (SISEU) yang berkait dengan NTUC.
“Kami mengakui bahawa ia tidak wajar bagi majikan memasukkan peruntukan yang menghalang atau menyekat pekerja daripada menghubungi pihak berkuasa dalam apa jua situasi,” kata Agoda dalam satu kenyataan pada 19 September.
“Ini bertentangan dengan semangat amalan pekerjaan yang adil dan bertanggungjawab di Singapura, dan Agoda memohon maaf atas sebarang bahasa dalam perjanjian kami yang memberi gambaran bahawa pekerja tidak boleh menghubungi agensi pemerintah, badan berkanun atau kesatuan sekerja untuk mendapatkan sokongan dan nasihat tambahan. Ini adalah hak perundangan mereka.”
Agoda juga memohon maaf atas “kesan negatif” yang dialami oleh sesetengah pekerjanya berkaitan perkara itu, dan menyatakan bahawa mereka “menyokong sepenuhnya semangat amalan pekerjaan tiga pihak yang terkenal di Singapura.”
Dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng dan Setiausaha Eksekutif SISEU, Encik Desmond Tan berkata: “Kami menghargai pengurusan Agoda kerana mengambil pendekatan proaktif dalam berhubung dengan NTUC, SISEU dan pemerintah, serta keterbukaan mereka dalam berkongsi maklumat mengenai perkara tersebut.
“Kesatuan juga telah memastikan bahawa manfaat pemberhentian yang diberikan kepada pekerja terjejas adalah selaras dengan garis panduan industri.”
Encik Ng dan Encik Tan menambah bahawa pihak pengurusan Agoda bersetuju untuk bekerjasama dengan gerakan buruh bagi menyokong pekerja terjejas sepanjang tempoh peralihan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg