Majikan di Singapura semakin kurang memberi penekanan kepada kelayakan akademik semasa pengambilan pekerja, dengan hampir lapan daripada 10 kekosongan jawatan pada 2024 tidak meletakkan kriteria itu sebagai pertimbangan utama mereka.
Laporan Kekosongan Jawatan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada 28 Mac, menunjukkan bahawa peratusan kekosongan jawatan yang tidak menjadikan kelayakan akademik sebagai kriteria utama meningkat kepada 78.8 peratus pada 2024, berbanding 74.9 peratus pada 2023.
Peralihan ini lebih ketara dalam kategori pekerjaan Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen (PMET), berbanding peranan bukan PMET dalam tempoh antara 2017 dan 2024.
Namun, laporan itu menyebut bahawa bagi peranan bukan PMET, majikan lebih bersedia mengambil pekerja yang kurang berkelayakan, dengan lebih tujuh dalam 10 majikan lebih terbuka, berbanding sekitar lima bagi peranan PMET.
Antara 10 kekosongan jawatan PMET dengan permintaan tertinggi untuk 2024, terdapat lima bidang pekerjaan di mana kelayakan akademik tidak menjadi pertimbangan utama majikan, seperti yang disenaraikan laporan tersebut.
Bidang-bidang tersebut ialah: karyawan pengajaran dan latihan; pembangun perisian, web dan multimedia; eksekutif jualan komersial dan pemasaran; penasihat kewangan dan pelaburan; serta karyawan rangkaian komputer, infrastruktur dan platform.
Sebaliknya, majikan yang mengambil pekerja untuk jawatan seperti jurutera awam, jururawat berdaftar dan akauntan lebih cenderung meletakkan kelayakan akademik sebagai pertimbangan utama.
MOM berkata walaupun “kelayakan akademik kekal faktor penting”, laporan tersebut menunjukkan bahawa majikan semakin terbuka mengambil pekerja berdasarkan kemahiran.
Sebagai contoh, majikan meletakkan pengalaman yang relevan, serta kemahiran dan kebolehan – seperti mengajar, mempengaruhi orang lain dan berfikir secara kritis – sebagai dua faktor utama dalam mempertimbangkan pemohon bagi jawatan yang ditawarkan.
Pengarah Penyelidikan dan Statistik Tenaga Manusia MOM, Encik Ang Boon Heng, berkata dalam satu taklimat media bahawa majikan yang mengutamakan pengambilan pekerja berdasarkan kemahiran telah memberi maklum balas bahawa calon yang diambil bekerja “biasanya membawa hasil lebih baik bagi syarikat mereka”.
Manfaatnya termasuk proses pengambilan lebih pantas, peningkatan prestasi pekerja, dan kelebihan untuk mengakses kumpulan bakat lebih luas.
Menurut laporan itu, majikan kini lebih fleksibel dengan kriteria pengambilan pekerja dek pasaran tenaga kerja yang sengit.
Bagi 58.1 peratus kekosongan jawatan, majikan terbuka mengambil calon yang memiliki kelayakan akademik lebih rendah daripada yang dinyatakan dalam iklan pekerjaan.
Kekosongan jawatan telah meningkat semula kepada 77,500 pada Disember 2024, berbanding 61,500 pada September, lapor The Business Times (BT).
Laporan MOM juga menunjukkan peningkatan berterusan dalam kekosongan jawatan PMET, daripada 57.2 peratus pada 2023 kepada 57.7 peratus pada 2024.
Menurut MOM, sejajar dengan peluasan ekonomi dalam sektor yang berkembang seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perkhidmatan kewangan, dan perkhidmatan profesional, permintaan untuk peranan PMET dalam sektor ini mencatatkan angka tertinggi.
Sektor ICT turut mencatatkan peratusan tertinggi bagi peranan baru, iaitu 75.1 peratus.
Meski peratusan kekosongan jawatan yang tidak terisi selama sekurang-kurangnya enam bulan menurun kepada 19.4 peratus pada 2024 berbanding 23.5 peratus pada 2023, laporan itu mendapati beberapa peranan PMET dan bukan PMET masih sukar diisi disebabkan kekurangan kemahiran dan keadaan kerja yang kurang menarik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg