Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasaran pekerjaan S’pura kekal sengit pada 2024

Mar 28, 2025 | 4:04 PM
Secara keseluruhan, terdapat 164 jawatan kosong bagi setiap 100 pencari kerja pada Disember 2024, turun sedikit berbanding 176 jawatan kosong pada Disember 2023.
Secara keseluruhan, terdapat 164 jawatan kosong bagi setiap 100 pencari kerja pada Disember 2024, turun sedikit berbanding 176 jawatan kosong pada Disember 2023. - Foto ST

Pasaran buruh Singapura kekal sengit pada 2024, dengan peranan baru menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan jawatan kosong, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam Laporan Jawatan Kosong tahunan mereka.

Bidang yang mencatat permintaan paling tinggi bagi karyawan adalah bidang pengajaran dan latihan, pembangunan sofwe, penjualan pemasaran, serta bidang-bidang lain.

Secara keseluruhan, terdapat 164 jawatan kosong bagi setiap 100 pencari kerja pada Disember 2024, turun sedikit berbanding 176 jawatan kosong pada Disember 2023, lapor The Straits Times (ST).

Jawatan yang baru diwujudkan menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan jawatan kosong pada 2024, mencatat sedikit penurunan daripada 47.3 peratus pada 2023.

Namun, ia masih menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun, kata MOM dalam satu kenyataan pada 28 Mac.

Dalam sektor maklumat dan komunikasi, jawatan baru menyumbang 75 peratus daripada keseluruhan jawatan kosong dalam sektor itu pada 2024, sekali gus mencerminkan daya saing industri tersebut.

Sebaliknya, sektor perdagangan runcit dan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) menyaksikan penurunan dalam peratusan jawatan baru, selepas mencapai kemuncak tinggi pada 2023. 

Menurut laporan tersebut, ini menunjukkan rentak perniagaan yang lebih perlahan dalam kedua-dua sektor berikutan peralihan perbelanjaan penduduk ke luar negara.

Pada 2014, jawatan Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen (PMET) hanya menyumbang 43.4 peratus daripada keseluruhan jawatan kosong.

Pada 2024, jumlahnya meningkat kepada 57.7 peratus seiring dengan peningkatan tahap pendidikan dalam tenaga kerja Singapura.

MOM berkata permintaan terhadap peranan PMET lebih ketara dalam sektor berkembang pesat seperti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan kewangan dan insurans, serta perkhidmatan profesional.

Antara 2014 dengan 2024, pekerjaan PMET dalam kalangan penduduk bagi sektor itu meningkat 227,500, manakala jumlah pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S meningkat 22,100.

Semasa lawatan ke firma perkhidmatan profesional KPMG pada 28 Mac, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, memberitahu media bahawa pekerjaan PMET tempatan dan asing dalam sektor berkembang meningkat secara serentak.

“Ini menunjukkan keserasian antara tenaga kerja penduduk dengan bukan penduduk,” katanya.

Peranan PMET dengan permintaan tertinggi pada 2024 adalah dalam bidang pengajaran dan latihan, dengan pengecualian bagi guru prasekolah.

Pereka sofwe, lelaman, dan multimedia menduduki tempat kedua, selepas mendahului senarai kekosongan PMET tertinggi pada 2022 dan 2023.

Peranan yang turut mendapat permintaan tinggi termasuk jurutera awam, penasihat kewangan, karyawan rangkaian komputer, jururawat, serta guru prasekolah.

Sementara itu, untuk peranan bukan PMET, terdapat permintaan paling tinggi bagi kakitangan restoran, pekerja pembersihan, pembantu kedai, penyambut tetamu dan pekerja binaan.

Peranan itu juga antara yang paling sukar diisi, dengan ramai memberi alasan waktu kerja panjang, gaji rendah, dan kerja memenatkan, sebagai faktor penghalang utama.

Bagi pekerjaan PMET, peranan penasihat kewangan dan pelaburan mungkin sukar diisi disebabkan kekurangan calon yang mempunyai kemahiran khusus dalam bidang tersebut. 

Peranan dalam bidang pengajaran dan latihan pula sukar diisi kerana memerlukan pengalaman kerja yang relevan.

Secara keseluruhan, peratusan kekosongan jawatan yang tidak terisi selama sekurang-kurangnya enam bulan telah susut sejak 2014, daripada 41.4 peratus pada 2014 kepada 19.4 peratus pada 2024 – dipacu terutamanya oleh kekosongan jawatan bukan PMET.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg