Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak hartawan Robert Kuok, Kuok Hui Kwong, dilantik CEO Shangri-La Asia

Jul 16, 2025 | 4:58 PM
Kuok Hui Kwong, Shangri-La Asia, ekonomi
Cik Kuok Hui Kwong telah menjadi pengarah eksekutif Shangri-La Asia sejak Jun 2016 dan pengerusi sejak Januari 2017. - Foto SHANGRI-LA ASIA

Anak kepada hartawan Malaysia, Encik Robert Kuok, Cik Kuok Hui Kwong, telah dinamakan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shangri-La Asia, salah satu rangkaian hotel terbesar di Asia, berkuat kuasa 1 Ogos.

Cik Kuok, anak keenam daripada lapan orang anak Encik Kuok, telah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif syarikat itu sejak Jun 2016 dan sebagai Pengerusi sejak Januari 2017, lapor The Straits Times (ST).

Shangri-La Asia, yang tersenarai di Hong Kong dan Singapura, menyatakan dalam pemfailan bursa pada 16 Julai bahawa penyatuan jawatan pengerusi dan CEO di bawah kepimpinan Cik Kuok dijangka dapat memperkukuh keselarasan strategi dan keberkesanan operasi dengan memastikan visi yang jelas dan konsisten pada semua peringkat kepimpinan.

Di bawah kontrak khidmatnya sekarang, Cik Kuok, 47 tahun, menerima gaji asas bulanan HK$576,000 ($94,300), selain bonus mengikut budi bicara dan manfaat pencen.

Beliau juga memiliki kepentingan langsung dan tidak langsung dalam 95.57 juta saham Shangri-La Asia, mewakili sekitar 2.7 peratus pegangan dalam syarikat tersebut.

Pada 2024, beliau berada di tempat ke-40 dalam senarai Wanita Paling Berkuasa di Asia oleh majalah Fortune.

Menurut laporan tahunan 2024 syarikat itu, kumpulan Shangri-La Asia memiliki 81 daripada lebih 100 hotel yang dikendalikannya di bawah empat jenama utama: Shangri-La, Kerry, Hotel Jen dan Traders. Aset bersih hartanah hotelnya bernilai AS$10.83 bilion ($13.92 bilion).

Cik Kuok memiliki ijazah sarjana muda dalam pengajian Asia Timur daripada Universiti Harvard di Amerika Syarikat dan pernah berkhidmat sebagai pengarah urusan dan CEO Kumpulan SCMP, penerbit South China Morning Post

Kumpulan Kuok menjual cabang media tersebut kepada syarikat teknologi China, Alibaba, yang diasaskan oleh Encik Jack Ma, pada 2016.

Kumpulan Shangri-La diasaskan pada 1971 oleh Encik Kuok, yang juga merupakan individu terkaya di Malaysia, dengan pembukaan Hotel Shangri-La Singapura.

CEO terdahulu Shangri-La Asia, Encik Lim Beng Chee, bersara pada penghujung 2022, namun masih berkhidmat sebagai pengarah bukan eksekutif dalam lembaga syarikat itu.

Beliau sebelum ini merupakan CEO CapitaMalls Asia.

Bagi tahun kewangan berakhir Disember 2024, Shangri-La Asia mencatatkan pendapatan AS$2.19 bilion, meningkat 2 peratus berbanding tahun sebelumnya. Namun, keuntungan bersihnya turun 12.3 peratus kepada AS$161.4 juta disebabkan peningkatan kos operasi dan pembiayaan.

Saham Shangri-La Asia di Singapura naik 2.2 peratus kepada HK$4.66 pada 16 Julai menyusuli pelantikan CEO baru itu, namun masih turun hampir 16.3 peratus setakat ini pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg