Menteri Pertahanan China, Encik Dong Jun, tidak menghadiri Dialog Shangri-La 2025 dengan Beijing hanya menghantar delegasi akademik tanpa pegawai pertahanan kanan.
Menteri Pertahanan Singapura, Encik Chan Chun Sing, berkata kebanyakan menteri, jika tidak semua, yang beliau temui di sesi meja bundar berharap agar delegasi China hadir.
“Kami terus mengalu-alukan penyertaan China dalam dialog yang akan datang. Malah di luar acara utama sekalipun, saya menggalak semua rakan sejawat dan Menteri Pertahanan agar terus menghulurkan tangan kepada China, meskipun tanpa kehadirannya kali ini.
“Dan saya yakin China, pada masanya nanti, juga akan ingin menghulurkan tangannya kepada dunia,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri sesi meja bundar menteri pada petang 31 Mei.
Beliau menggambarkan Dialog Shangri-La sebagai wadah yang baik untuk bertemu dan berbincang bagi mengurangkan kemungkinan salah anggapan atau pengertian niat antara satu sama lain.
Mengulas peranan Singapura dalam dunia yang semakin kompleks, Encik Chan, berkata negara itu akan sentiasa menjadi wadah terbuka dan inklusif untuk orang ramai berkumpul, bertukar pandangan serta mengadakan perbincangan secara terbuka.
Singapura juga akan terus menyumbang “nilai sebenar” dengan berkongsi perspektifnya sendiri.
“Kalau ingin mengibaratkan, kami bukan sekadar menyampaikan mesej.
“Kami ada pandangan tersendiri, hasil daripada interaksi dengan rakan dan rakan kongsi. Dan kami kongsikannya secara terus terang dengan pelbagai pihak,” tambahnya.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Encik Pete Hegseth, telah mengeluarkan kenyataan paling tegas mengenai China sejak menyandang jawatan pada Januari.
Berucap buat julung kalinya di Dialog Shangri-La, Encik Hegseth, berkata:
“Tiada sebab untuk berselindung. Ancaman yang dibawa oleh China adalah nyata, dan ia mungkin berlaku dalam masa terdekat.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg