Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aplikasi Nusuk Saudi lepasi 30j muat turun

Sep 22, 2025 | 1:09 PM
aplikasi, Saudi, Nusuk
Aplikasi Nusuk yang diperkenalkan pihak berkuasa Arab Saudi, telah melepasi 30 juta muat turun, dengan lebih 90 peratus pengguna adalah dari lebih 190 negara. - Foto AFP

JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan bahawa platform digitalnya, aplikasi Nusuk, telah melepasi 30 juta muat turun, dengan lebih 90 peratus pengguna adalah dari lebih 190 negara.

Angka tersebut mewakili peningkatan 150 peratus berbanding 12 juta pada 2024.

Menurut kementerian tersebut menerusi kenyataan pada 20 September bahawa kenaikan besar itu menekankan pencapaian peringkat sejagat aplikasi itu dan peranan pentingnya dalam memudahkan perjalanan ibadah haji, umrah dan lawatan oleh jemaah dari saentero dunia.

Aplikasi Nusuk menawarkan lebih 100 perkhidmatan digital melalui penyepaduan dengan pelbagai entiti haji dan umrah, meliputi setiap peringkat perjalanan jemaah daripada membuat perancangan ibadah sehinggalah mereka pulang ke negara masing-masing

Perkhidmatan itu termasuk tempahan umrah, lawatan ke Al-Rawdah Al-Sharif di Masjid Nabawi, tempahan untuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain, penerbangan, hotel dan acara lawatan.

Aplikasi Nusuk itu juga baru-baru ini telah mengembangkan cirinya dengan memasukkan perkhidmatan harian seperti akses kepada Al-Quran, doa, waktu solat dan arah kiblat.

Kementerian Haji dan Umrah Saudi turut mengesahkan pihaknya akan menjalankan kemas kini aplikasi itu tidak lama lagi untuk memberikan pengalaman lebih lancar dan mesra pengguna, sebagai sebahagian daripada matlamat berterusan untuk menjadikan ia sebagai wadah Islam digital terkemuka dunia.

Pada Mac lalu, Saudi Press Agency (SPA), melaporkan Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah mengaktifkan pelan musim Ramadan dengan beberapa projek utama.

Antaranya ialah pelancaran percubaan perkhidmatan, ‘Tahalul dari Nusuk’, di lima lokasi khas dalam Masjidil Haram yang dilengkapi dengan standard keselamatan dan kebersihan.

Buat kali pertama, perkhidmatan pemotongan rambut bergerak menggunakan troli yang boleh dipindahkan, turut diperkenal.

Selain itu, perkhidmatan penyimpanan bagasi turut dipertingkat dengan sistem pemantauan elektronik.

Bagi memudahkan pergerakan jemaah, jumlah ‘kereta golf’ elektrik turut digandakan kepada 400 unit dan ditempatkan di 11 lokasi strategik dalam Masjidil Haram.

Turut diperkenal ialah papan tanda panduan lokasi bagi membantu jemaah mendapatkan kemudahan yang disediakan dengan lebih mudah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg