MEXICO CITY: Apple merancang untuk menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos cip memori dan storan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Tim Cook dalam satu temu bual bersama Wall Street Journal (WSJ).

Lonjakan permintaan kecerdasan buatan (AI) bagi pusat data telah mengakibatkan persaingan sengit antara untuk mendapatkan komponen utama, sekali gus melonjakkan harga pasaran dengan mendadak.

Awal bulan ini, gabungan pengeluar automotif dan firma elektronik memberi amaran bahawa peningkatan permintaan cip memori boleh mendorong kenaikan drastik harga barangan pengguna di Amerika Syarikat, selain menjejas rantaian bekalan.

“Malangnya, kenaikan harga ini tidak dapat dielakkan,” kata Encik Cook kepada WSJ

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kesan kenaikan kos besar yang perlu ditanggung (Apple). Malah, kami telah cuba melindungi pelanggan daripada kesan kenaikan ini, namun situasi semasa menyebabkan aturan tersebut menjadi tidak mampan.”

Encik Cook, yang bakal menyerahkan jawatannya kepada Naib Presiden Kejuruteraan Perkakasan, Encik John Ternus pada September, tidak mendedahkan garis masa atau produk yang bakal terjejas.

Apple dilaporkan bersiap sedia untuk melancarkan iPhone boleh lipat pertamanya pada September ini, di samping model iPhone 18 Pro dan Pro Max.

Encik Cook menjelaskan bahawa kos memori dan storan, khususnya cip DRAM, kini menjadi cabaran utama bagi syarikatnya.

Beliau menyatakan bahawa kebanyakan bekalan memori kini disalurkan kepada memori jalur lebar tinggi (HBM) yang digunakan untuk pelayan AI.

“Jumlah bekalan berkurangan pada waktu pengguna mahukan peranti baru, manakala pembekal memori pula memindahkan kos kenaikan harga yang besar ini (kepada pengeluar),” katanya.

“Kami memerlukan harga dan bekalan memori kembali ke tahap munasabah bagi produk pengguna.”

Walaupun China memiliki syarikat domestik terkemuka dalam sektor memori, firma Amerika tetap memerlukan lesen untuk bekerjasama dengan mereka di bawah peraturan keselamatan negara.

Apabila ditanya sama ada sekatan tersebut patut dilonggarkan, Encik Cook menegaskan bahawa “semuanya perlu dipertimbangkan”.

Encik Cook juga membayangkan kesediaan Apple untuk menggunakan rizab tunai bagi melonjakkan bekalan memori.

Namun, beliau menegaskan bahawa Apple tiada perancangan untuk menggunakan tunai atau kepakaran silikonnya bagi membina kilang memori sendiri. – Reuters.