SAN FRANCISCO: Syarikat gergasi teknologi sedunia, Apple, pada 20 April menamakan pemimpin kanan syarikat, Encik John Ternus, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu pada September.

Beliau menggantikan Encik Tim Cook, sedang Apple bersiap-siap menghadapi perubahan besar ekoran teknologi kecerdasan buatan (AI).

Encik Ternus, yang telah bersama Apple sejak 2001, memainkan peranan penting dalam meningkatkan produk seperti komputer Mac, yang berjaya meluaskan pasaran berbanding komputer peribadi (PC) lain.

Beliau kini perlu menentukan hala tuju baharu Apple pada saat mencabar.

Walaupun pertumbuhan kekal kukuh, Apple masih ketinggalan dalam AI, teknologi yang bakal mengubah cara pengguna menggunakan peranti.

“John Ternus mempunyai minda jurutera, semangat pencipta dan jiwa pemimpin jujur,” kata Encik Cook, sambil menyifatkan Encik Ternus sebagai pemimpin berwawasan yang sumbangannya kepada syarikat tersebut selama 25 tahun membuat beliau pilihan tepat untuk masa depan Apple.

Pada usia 50 tahun, beliau sebaya dengan Encik Cook semasa Encik Cook mengambil alih daripada pengasas bersama, Encik Steve Jobs.

Encik Ternus turut memperkenalkan iPhone Air pada 2025, pembaharuan terbesar sejak 2017 dan medan ujian penting bagi beberapa cip baharu.

Beliau juga memperkukuh perbezaan produk Apple melalui model Pro berprestasi tinggi, serta memperkenalkan pilihan lebih berpatutan seperti MacBook Neo dan model iPhone ‘e’.

Syarikat Apple di bawah kepimpinan Encik Ternus perlu bersaing dengan Nvidia, yang membangunkan komputer peribadi dan cip untuk komputer riba, serta pesaing seperti Meta Platforms, yang mana cermin mata realiti tambahannya menjadi kejayaan mengejut walaupun jauh lebih terhad dari segi keupayaan dan harga berbanding Vision Pro Apple.

Cabaran terbesar Encik Ternus adalah menggabungkan AI ke dalam iPhone, produk pengguna paling berjaya dalam sejarah, serta rangkaian produk Apple yang lain.

Pada awal 2026, Apple memeterai perjanjian dengan Google milik Alphabet untuk menggunakan Gemini bagi menambah baik Siri.

Walaupun memperkenalkan Siri pada 2011, Apple belum menghasilkan produk AI yang benar-benar berjaya, berbanding pesaing seperti OpenAI yang telah menarik ratusan juta pengguna.

Encik Cook akan menjadi pengerusi eksekutif syarikat, menurut kenyataan Apple.

Saham Apple melonjak tinggi sejak beliau mengambil alih sebagai CEO pada Ogos 2011.

Encik Cook dibawa masuk oleh Encik Jobs daripada Compaq ketika syarikat itu berada di puncak ledakan PC 1990-an, sementara Encik Jobs berusaha menyelamatkan Apple daripada ambang muflis.

Pelantikan Encik Ternus sebagai CEO menandakan peralihan daripada pakar rantaian bekalan yang membina Apple sebagai jenama sedunia berpengeluaran ratusan juta unit setahun, kepada pemimpin yang telah lama menumpu pada reka bentuk dan produk.

Encik Ben Bajarin, CEO firma perunding teknologi Creative Strategies, berkata Encik Ternus disenangi dalam Apple “dan akan membawa tenaga baharu”. – Agensi berita.