Asia Tenggara perlu meningkatkan pelaburan tenaga bersih kepada AS$190 bilion ($250 bilion), kira-kira lima kali ganda jumlah semasa, menjelang 2035 untuk mencapai matlamat iklimnya, ujar Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada 22 Oktober.
Meningkatkan pelaburan tenaga perlu disertakan dengan strategi mengurangkan pelepasan dari loji arang batu di rantau ini, kata IEA dalam satu laporan.
Ia menambah bahawa pertumbuhan ekonomi yang pesat dijangka menimbulkan cabaran pada keselamatan tenaga dan matlamat iklim.
Namun, tindakan untuk menutup loji jana kuasa arang batu di pasaran membangun, yang disokong oleh negara-negara Barat yang kaya, menghadapi kelewatan, tidak mengikut tarikh akhir yang ditetapkan.
Tarikh akhir pada Julai berlalu tanpa sebarang perjanjian mengenai penutupan awal projek perintis di Indonesia.
Permintaan elektrik di Asia Tenggara dijangka meningkat pada kadar 4 peratus setiap tahun, pada tahun-tahun akan datang, dengan sumber tenaga bersih seperti angin dan suria, di samping tenaga moden biotenaga dan geoterma, diramalkan memenuhi lebih satu pertiga daripada pertumbuhan permintaan tenaga di rantau ini menjelang 2035, menurut laporan IEA.
Namun, ia masih tidak mencukupi untuk membendung pelepasan karbon dioksida berkaitan tenaga di rantau ini, yang dijangka meningkat 35 peratus dari sekarang hingga pertengahan abad ini, menurut laporan tersebut.
“Teknologi tenaga bersih tidak berkembang dengan cukup pantas, dan pergantungan tinggi serta berterusan pada bahan api fosil import menyebabkan negara lebih terdedah kepada risiko (pada) masa depan,” kata pengarah eksekutif IEA, Encik Fatih Birol.
Menurut laporan tersebut, rantau ini secara keseluruhan hanya menarik 2 peratus daripada pelaburan tenaga bersih global, walaupun ia menyumbang 6 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) global, 5 peratus kepada permintaan tenaga global, dan menjadi tempat tinggal bagi 9 peratus penduduk dunia.
Usaha mengembangkan dan memodenkan rangkaian kuasa di rantau ini untuk menyokong lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui akan memerlukan pelaburan tahunan hampir AS$30 bilion menjelang 2035, ujar IEA. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg