Anak syarikat Singtel di Australia, Optus, telah mendapat kemudahan kredit pusingan sebanyak A$1.95 bilion ($1.64 bilion) daripada 12 bank untuk membiayai semula kemudahan kreditnya yang sedia ada, serta bagi tujuan korporat am.
Bank itu termasuk Australia and New Zealand Banking Group (ANZ), Bank of China di Sydney, OCBC, cawangan DBS di Australia dan cawangan UOB di Sydney, lapor The Business Times.
Kemudahan itu dijamin oleh syarikat induk Optus Finance, Singtel Optus, dan beberapa anak syarikatnya, kata syarikat telekomunikasi itu pada 31 Januari.
Pada November 2024, Optus didenda A$12 juta kerana gagal menyediakan perkhidmatan panggilan kecemasan kepada beribu-ribu pelanggan semasa gangguan melanda seluruh negara pada 2023.
Penguasa Perhubungan dan Media Australia mendedahkan bahawa lebih 2,000 pelanggan tidak dapat mengakses perkhidmatan panggilan kecemasan semasa gangguan itu.
Syarikat tersebut juga gagal menghubungi kembali lebih 360 pelanggan tersebut sebaik sahaja gangguan itu dihurai.
Pada Oktober 2024, Optus didenda oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) atas dakwaan salah laku jualan.
ACCC berkata Optus dikatakan menjual telefon bimbit dan pelan kepada pelanggan terdedah, termasuk yang keupayaan berfikir, belajar dan mengingati berkurangan dan ketakupayaan belajar.
Kes itu membabitkan dakwaan bahawa Optus terlibat dalam amalan jualan tidak wajar, termasuk dilaporkan mengupah pemungut hutang untuk mengejar pelanggan walaupun tahu bahawa kontrak mereka adalah hasil penipuan.
ACCC sedang menuntut denda, ganti rugi pengguna, program pematuhan dan kos daripada Optus.
Optus sedang terkial-kial untuk memulihkan reputasinya selepas satu serangan siber pada September 2022 menjejas data lebih sejuta pelanggan, mendorong permintaan di seluruh negara bagi peraturan privasi lebih ketat.
Saham Singtel ditutup enam sen, atau 1.9 peratus, lebih tinggi pada $3.26 pada 28 Januari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg