Dalam langkah pertama seumpamanya, Singtel pada 22 Mei mengumumkan ia akan membeli balik saham bernilai sehingga $2 bilion sepanjang tiga tahun akan datang, selepas mencatat keuntungan bersih sebanyak $4.02 bilion.
Keuntungan tersebut meningkat lebih lima kali ganda berbanding keuntungan pada tahun kewangan 2024.
Namun, dalam mengumumkan keputusan bagi seluruh tahun kewangan 2025 yang berakhir 31 Mac, syarikat telekomunikasi Singapura itu menyatakan bahawa keuntungan bersih syarikat itu naik pada kadar lebih sederhana sebanyak 9 peratus kepada $2.47 bilion.
Keuntungan bersih yang melonjak itu didorong oleh keuntungan bersih luar biasa sebanyak $1.55 bilion – sebahagian besarnya diraih hasil penjualan sebahagian ibu pejabat Comcentre milik syarikat itu.
Ini berbanding kerugian bersih syarikat itu sebanyak $1.47 bilion yang dicatatkan pada 2024, lapor The Straits Times (ST).
Singtel juga menyatakan bahawa keuntungan bersih syarikat itu mungkin telah meningkat sebanyak 11 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya, jika kesan turun naik mata wang asing tidak diambil kira.
Singtel menjelaskan bahawa keuntungan syarikat itu turut dirangsang oleh prestasi kukuh unit Optus syarikat itu di Australia, syarikat perunding teknologi NCS, serta syarikat rakan usaha serantau, iaitu syarikat telekomunikasi India, Airtel, dan syarikat telekomunikasi Thailand, AIS.
Pendapatan teras kekal stabil, manakala keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) naik 5 peratus.
Singtel menyarankan dividen akhir sebanyak 10 sen sesaham, merangkumi 6.7 sen dividen teras, dan 3.3 sen dividen realisasi nilai, yang diperkenalkan pada Mei 2024 untuk mengembalikan lebihan modal kepada para pemegang saham.
Ini menjadikan pemberian dividen bagi seluruh tahun sebanyak 17 sen, naik berbanding 15 sen pada tahun kewangan sebelumnya, dengan peruntukan sekitar $2.81 bilion bagi pembayaran dividen tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg