Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badan bagi galak prestasi lebih baik firma tersenarai SGX

Corporate Monitor tidak cari untung, akan terbit laporan sediakan maklumat agar pelabur, pengarah ambil tindakan
Aug 27, 2024 | 6:03 PM
Anggota pengasas Corporate Monitor (duduk dari kiri) Cik Tan Yee Peng, Encik Rohan Kamis, Profesor Mak Yuen Teen dan Encik Yap Wai Ming. Kumpulan itu mempunyai seorang penganalisis kanan, Encik Irwin Luo (berdiri).
Anggota pengasas Corporate Monitor (duduk dari kiri) Cik Tan Yee Peng, Encik Rohan Kamis, Profesor Mak Yuen Teen dan Encik Yap Wai Ming. Kumpulan itu mempunyai seorang penganalisis kanan, Encik Irwin Luo (berdiri). - Foto BT

Sekumpulan pemerhati industri telah membentuk sebuah badan tidak mencari untung bagi menyelidik dan menggalak syarikat tersenarai di Bursa Singapura (SGX) meningkatkan prestasi mereka.

Digelar Corporate Monitor, entiti yang dilancarkan pada Mei itu bermatlamat menerbitkan secara tetap laporan penyelidikan yang menawarkan maklumat berguna agar pihak berkepentingan seperti pelabur dan anggota lembaga pengarah boleh mengambil tindakan sewajarnya.

Bercakap kepada Berita Harian, seorang ahli pengasas Corporate Monitor, Encik Rohan Kamis, berkata badan itu dibentuk kerana para pengasasnya mendapati mereka mempunyai kebimbangan sama mengenai tadbir urus korporat entiti tersenarai.

“Kami mengambil berat tentang tadbir urus korporat entiti tersenarai, khususnya yang merugikan pelabur dan pihak berkepentingan, terutamanya pelabur kecil yang tidak mempunyai kemudahan penyelidikan sewajarnya.

“Sesetengah mereka bertindak berdasarkan khabar angin, wang titik peluh mereka sendiri. Jadi mereka sangat spekulatif, yang merupakan sesuatu yang tidak harus dilakukan,” kata Encik Rohan, mantan Anggota Parlimen yang juga rakan kongsi pengurusan di firma perakaunan Rohan Mah and Partners.

Pengarah pengasas Corporate Monitor ialah bekas rakan kongsi firma perakaunan KPMG, Cik Tan Yee Peng; ahli akademik tadbir urus korporat, Profesor Mak Yuen Teen; dan Encik Rohan.

Dua lagi anggota pengasas kumpulan itu ialah karyawan ekuiti privet, Encik Lim Meng Ann; dan peguam korporat, Encik Yap Wai Ming.

Kumpulan itu mempunyai seorang pekerja sepenuh masa, iaitu penganalisis kanan, Encik Irwin Luo, lapor The Business Times.

Menurut kumpulan itu, anggotanya bersatu untuk membentuk Corporate Monitor pada awal 2024, selepas menyedari mereka mempunyai visi sama ingin meningkatkan tadbir urus korporat dalam pasaran awam tempatan.

Contohnya, Encik Lim menghubungi Cik Tan beberapa bulan lalu untuk berbincang mengenai idea membentuk sebuah badan yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat pelabur.

Profesor Mak pula pernah menyelia sebuah projek pelajar mengenai penubuhan sebuah firma penasihat penyelidikan bagi syarikat tempatan. Projek itu ditaja oleh firma Encik Rohan.

Corporate Monitor akan menerbitkan secara tetap laporan yang menyediakan penyelidikan menyeluruh terhadap prestasi syarikat tersenarai di SGX.

Profesor Mak, daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata Corporate Monitor akan menganalisis syarikat yang tidak menerima banyak liputan daripada penganalisis lain, atau mempunyai isu yang perlu diketengahkan kepada pelabur.

Ia akan menyediakan laporan secara ad-hoc mengenai transaksi korporat utama.

Encik Rohan berkata menerusi laporan tersebut, beliau berharap syarikat akan mengambil tindakan selanjutnya untuk menambah baik tadbir urus korporat mereka.

Beliau turut berharap ia akan menjadi panduan kepada pemegang saham dan pelabur untuk membuat keputusan lebih baik mengenai pelaburan mereka.

“Kami tidak memberi anda nasihat pelaburan. Anda benar-benar perlu membaca dengan fikiran terbuka, ini penting. Kami tidak mengatakan pergi dan beli atau jual.

“Kami berkata, ini adalah fakta, ini adalah perkara baik, dan ini pula bukan perkara baik,” katanya.

Mengenai bagaimana laporannya berbeza daripada liputan pengamat lain oleh syarikat broker di Singapura, Cik Tan berkata laporan Corporate Monitor akan memberi pandangan dan pengetahuan lebih mendalam berbanding laporan penganalisis lain yang mempunyai skop agak terhad.

“Kami mahu melakukan analisis mendalam mengenai strategi (syarikat), prestasi kewangan, kewangan korporat dan tadbir urus korporatnya,” ujarnya.

Antara lain, Corporate Monitor akan menghantar penganalisisnya ke mesyuarat agung tahunan (AGM) sesebuah syarikat untuk bertanya soalan tertentu, contohnya, mengenai nilai pemegang saham.

Ia turut merancang membeli sebilangan kecil saham syarikat yang mendapat liputannya, agar ia dapat berinteraksi dengan syarikat berkenaan sebagai pemegang saham, dan bukan sekadar proksi.

“Kami mengambil berat tentang tadbir urus korporat entiti tersenarai, khususnya yang merugikan pelabur dan pihak berkepentingan, terutamanya pelabur kecil yang tidak mempunyai kemudahan penyelidikan sewajarnya. Sesetengah mereka bertindak berdasarkan khabar angin, wang titik peluh mereka sendiri. Jadi mereka sangat spekulatif, yang merupakan sesuatu yang tidak harus dilakukan.”
Anggota pengasas, Corporate Monitor, Encik Rohan Kamis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg