Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banglo milik keluarga mendiang presiden Ong Teng Cheong bakal dijual $60j

Jan 9, 2025 | 2:34 PM
Hartanah itu terletak di salah satu daripada dua tapak tanah milik Encik Ong Tze Guan, anak lelaki sulung presiden dilantik pertama Singapura, mendiang Encik Ong Teng Cheong, dan bekas iparnya, Cik Wang Yi Yi.
Hartanah itu terletak di salah satu daripada dua tapak tanah milik Encik Ong Tze Guan, anak lelaki sulung presiden dilantik pertama Singapura, mendiang Encik Ong Teng Cheong, dan bekas iparnya, Cik Wang Yi Yi. - Foto CUSHMAN & WAKEFIELD

Sebuah hartanah Banglo Kelas Baik (GCB) pegangan bebas milik keluarga mantan presiden Ong Teng Cheong bakal dijual pada harga $60 juta.

Terletak di Dalvey Estate berhampiran Kebun Bunga Singapura, tapak GCB itu seluas 21,882 kaki persegi dan sedang dipasarkan pada harga sekitar $2,742 setiap kaki persegi (psf).

Hartanah itu terletak di salah satu daripada dua tapak tanah milik Encik Ong Tze Guan, anak lelaki sulung presiden dilantik pertama Singapura itu dan bekas iparnya, Cik Wang Yi Yi.

Encik Ong dan Cik Wang adalah penyewa bersama dengan bahagian yang sama, dan Cik Wang memegang bahagiannya sebagai pemegang amanah, lapor The Straits Times (ST).

Tapak tanah kedua menempatkan bango dua tingkat gaya Art Deco, yang menjadi subjek saman yang difailkan oleh Encik Ong terhadap Cik Wang pada Ogos 2022. 

Hartanah itu, yang merupakan kediaman peribadi mendiang Encik Ong Teng Cheong, tidak dijual.

Encik Ong telah memohon perintah mahkamah supaya Cik Wang membeli bahagiannya dalam banglo Dalvey Estate itu berdasarkan penilaian pasaran semasa, atau supaya hartanah itu dijual di pasaran terbuka dan hasil jualannya dibahagikan sama rata antara mereka.

Pada Oktober 2022, ST melaporkan bahawa pertikaian itu telah diselesaikan.

Encik Shaun Poh, pengarah eksekutif pasaran modal di Cushman & Wakefield, yang sedang memasarkan hartanah itu, berkata:

“Hartanah ini terletak di alamat paling berprestij di Daerah 10, dalam kawasan eksklusif Dalvey Estate/Nassim Road.

“Kawasan ini sangat popular dalam kalangan individu berpendapatan tinggi, dan ini jelas terbukti dengan urus niaga terkini di Nassim Road dan Tanglin Hill, apabila harga tanah mencatatkan rekod $4,500 psf dan $6,200 psf.”

Encik Poh berkata tapak itu sesuai untuk pembeli yang ingin membina rumah bagi beberapa generasi atau pemaju yang ingin membangunkannya semula menjadi GCB baru.

Proses pengemukaan minat akan hartanah itu ditutup pada 11 Februari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg