Kegiatan pelaburan hartanah di Singapura meningkat pada suku ketiga 2024 dek jangkaan pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat yang pertama dalam empat tahun, menurut laporan Knight Frank Singapore yang dikeluarkan pada 8 Oktober.
Angka yang dikumpulkan oleh firma perunding hartanah itu menunjukkan jualan pelaburan hartanah berjumlah $8.3 bilion pada suku ketiga 2024, meningkat 24.8 peratus daripada $6.7 bilion pada suku sebelumnya dan 30.5 peratus lebih tinggi berbanding $6.4 bilion pada suku ketiga 2023.
Daripada jumlah jualan pada suku ketiga, jualan sektor awam berjumlah $2.3 bilion, manakala jualan sektor swasta berjumlah $6 bilion, lapor The Straits Times.
Lonjakan terbesar dalam kegiatan jualan adalah di sektor industri.
Namun, di sektor kediaman, jualan berkurangan 24.7 peratus berbanding suku sebelumnya kepada $3.2 bilion.
Daripada jumlah itu, 74.2 peratus daripada urus niaga adalah bagi tapak jualan tanah pemerintah (GLS), ujar Knight Frank.
Pada Ogos, dua tapak negara di Zion Road (Parcel B) dan Jalan Loyang Besar dijual pada harga $730.1 juta dan $557 juta.
Selain itu, penjualan beberapa banglo kelas baik (GCB) dalam suku tersebut juga menyumbang kepada nilai jualan pelaburan kediaman.
Pada Julai, sebuah GCB di Tanglin Hill dijual pada harga $93.9 juta dan dua GCB di Belmont Road dijual pada harga $73.7 juta dan $57.7 juta, menurut Knight Frank.
Walaupun pasaran jualan kolektif menyaksikan lima pelancaran pada suku ketiga, tiada urus niaga jualan kolektif berjaya dicapai.
Knight Frank mendapati “jualan kolektif bagi tapak lebih besar terus menjadi cabaran, terutama untuk pembangunan kediaman”.
Dalam segmen hartanah komersial, pemerolehan 50 peratus kepentingan dalam ION Orchard (termasuk ION Orchard, ION Orchard Link, Galeri Seni ION dan ION Sky) oleh CapitaLand Integrated Commercial Trust daripada CapitaLand Investment pada harga $1.8 bilion meningkatkan jumlah nilai jualan dalam segmen itu kepada $2.7 bilion, bertambah 37.2 peratus daripada suku kedua.
Sentimen pasaran keseluruhan kelihatan bertambah baik selepas Rizab Persekutuan Amerika mengurangkan kadar penanda arasnya sebanyak setengah peratusan mata pada 18 September, kata Knight Frank.
Ia menambah bahawa walaupun jualan kolektif kekal mencabar, pembangunan komersial dan penggunaan bercampur akan mempunyai peluang lebih tinggi untuk berjaya dalam keadaan pasaran semasa.
Syarikat perundingan itu menjangkakan momentum jualan pelaburan akan bertambah baik dalam beberapa bulan akan datang dan mengunjurkan jualan pelaburan hartanah berjumlah antara $23 bilion dengan $25 bilion pada 2024
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg