Bank of Singapore (BOS) pada 18 Ogos mengumumkan pelancaran pilihan baru bagi individu yang mempunyai nilai bersih teramat tinggi (UHNWI) untuk menguruskan kekayaan mereka secara profesional, sebagai alternatif kepada pejabat keluarga tunggal (SFO).
Individu sedemikian mempunyai nilai bersih sekurang-kurangnya AS$250 juta ($320 juta), menurut bank itu, lapor The Business Times (BT).
‘Family Office Catalyst’ Bank of Singapore akan memberikan UHNWI akses kepada kepakaran pelaburan khusus dan kelayakan untuk pengecualian cukai, kata BOS, sambil menegaskan bahawa kelebihan seperti itu “biasanya dikaitkan” dengan SFO.
UHNWI “terus ingin menguruskan kekayaan mereka secara lebih profesional dan ramai yang sedang meneroka pilihan selain pejabat keluarga tunggal,” kata ketua global BOS bagi perantara kewangan, pejabat keluarga dan penasihat kekayaan, Encik Lim Leong Guan.
“Kebimbangan mengenai kos operasi tinggi dan cabaran menarik bakat pelaburan yang sesuai di tengah persaingan sengit mendorong mereka mempertimbangkan huraian yang lebih cekap,” tambahnya.
BOS juga merujuk kepada laporan McKinsey pada 2024 yang mengatakan bahawa kos operasi yang semakin meningkat dan keperluan mempunyai akses kepada wadah berdaya teknologi adalah antara lima cabaran utama bagi pejabat keluarga di Asia-Pasifik.
UHNWI yang menggunakan huraian baru itu mungkin layak untuk pengecualian cukai di bawah Seksyen 13O dan 13U Akta Cukai Pendapatan 1947, kata BOS.
Menurut BOS, pengecualian itu adalah serupa dengan pengecualian yang tersedia di bawah SFO.
BOS menambah bahawa UHNWI yang menggunakan huraian itu perlu mempunyai dana pelaburan sekurang-kurangnya AS$20 juta.
Dana itu akan diuruskan oleh bank tersebut sama ada melalui pengurusan portfolio budi bicara atau pengurusan portfolio penasihat.
Individu yang memilih huraian baru itu “akan mempunyai fleksibiliti untuk beralih ke struktur SFO” kemudian, kata BOS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg