Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura umum entiti pembayaran baru, pengesahan bil muatan automatik

Feb 12, 2025 | 5:37 PM
Sebuah entiti baru akan ditubuhkan untuk menyatukan pentadbiran dan tadbir urus skim-skim pembayaran nasional Singapura seperti Fast, PayNow dan SGQR.
Sebuah entiti baru akan ditubuhkan untuk menyatukan pentadbiran dan tadbir urus skim-skim pembayaran nasional Singapura seperti Fast, PayNow dan SGQR. - Foto ZAOBAO

Singapura pada 12 Februari mengumumkan melalui pelbagai kumpulan, satu entiti pembayaran baru dan satu penyelesaian automatik untuk mengesahkan bil muatan (bills of lading), sambil ia bergerak untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab kewangan sejagat.

Sebuah entiti baru akan ditubuhkan untuk menyatukan pentadbiran dan tadbir urus skim pembayaran nasional Singapura seperti Fast, PayNow dan SGQR, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Persatuan Bank Singapura (ABS) dalam satu kenyataan bersama.

Skim sedemikian kini ditadbir urus oleh MAS, ABS, Persatuan Gedung Penjelasan Singapura (SCHA) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), lapor The Straits Times (ST).

Penyatuan di bawah satu entiti akan mengukuhkan tadbir urus skim-skim itu dan membolehkan daya tahan dan inovasi pembayaran yang lebih besar, kata Pengarah Urusan MAS, Encik Chia Der Jiun.

Pengerusi ABS, Encik Piyush Gupta, menyatakan bahawa entiti pembayaran baru itu akan menyediakan batu loncatan untuk teknologi pembayaran.

“ABS dan bank-bank anggota berharap dapat bekerjasama rapat dengan perusahaan untuk mencapai matlamat Singapura sebagai pusat kewangan pintar,” ujar beliau.

Entiti itu akan ditadbir urus oleh wakil kanan MAS dan sektor perkhidmatan kewangan, yang akan menyediakan hala tuju strategik kepada pasukan pengurusan entiti itu.

Untuk membangunkan strategi, jawatankuasa perusahaan akan dibentuk di bawah entiti itu untuk melibatkan bank, penyedia perkhidmatan pembayaran dan kumpulan pengguna utama seperti persatuan perusahaan dan perniagaan.

Operasi dan peraturan bagi skim-skim pembayaran nasional itu akan kekal tidak berubah di bawah entiti baru itu.

Butiran lanjut mengenai nama entiti tersebut, struktur tadbir urus dan komposisi lembaga akan didedahkan kemudiannya tahun ini (2025), kata MAS dan ABS.

Pada hari yang sama, satu penyelesaian automatik untuk bank-bank di Singapura mengesahkan ketulenan bil muatan (BL) telah dilancarkan.

Bil muatan, yang dikeluarkan oleh pembawa (carrier) kepada pengirim, menyenaraikan barang yang diangkut, destinasi serta nama pengirim dan penerima.

Ia biasanya digunakan sebagai dokumen sokongan untuk memohon pembiayaan perdagangan.

Penyelesaian itu – dipanggil semakan ketulenan BL – akan membolehkan bank mendapatkan semula titik-titik data daripada pembawa dengan cepat dan automatik, bukannya melalui proses manual apabila pihak bank menelefon atau menghantar e-mel untuk mengesahkan maklumat, kata Pendaftaran Kewangan Perdagangan (TFR) dan Pertukaran Data Perdagangan Singapura (SGTraDex).

TFR telah ditubuhkan pada Jun 2023 oleh ABS untuk menyokong ketelusan dalam kewangan perdagangan.

Pihak bank akan menyerahkan mata data dokumen perdagangan yang berkaitan kepada TFR untuk pemeriksaan pembiayaan duplikat dan pengesahan BL.

SGTraDex kemudian akan menghantar permohonan bagi maklumat kepada pengagregat data pembawa.

Melalui proses itu, maklumat pembawa yang berkaitan dapat diperoleh dengan pantas daripada pembawa dan dihantar semula kepada TFR bagi bank melengkapkan semakan pengesahan.

Proses manual untuk pengesahan BL yang ada sekarang mungkin mengambil masa sehingga tiga hari bekerja.

Dengan penyelesaian baru ini, bank boleh menjangkakan dapat memendekkan masa proses itu kepada satu hari bekerja, kata Cik Ong-Ang Ai Boon, pengarah di ABS, kepada ST.

Pemeriksaan ketulenan BL itu dibina berdasarkan keupayaan pemeriksaan pembiayaan duplikat yang bertujuan memerangi penipuan pembiayaan berganda, dengan membolehkan bank berkongsi maklumat untuk mengesahkan sama ada sesuatu transaksi sudah pun dibiayai, sebelum bersetuju untuk membiayainya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg