Jumlah pejabat keluarga tunggal (SFO) di Singapura terus berkembang pada 2024, melebihi 2,000 menjelang akhir 2024.
Demikian menurut Menteri Kedua Kewangan, yang juga timbalan pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Chee Hong Tat, pada 14 Januari.
Pada pertengahan September, Encik Chee berkata bank pusat itu telah memberikan insentif cukai kepada sekitar 1,650 SFO menjelang akhir Ogos, lapor The Business Times.
Ini bermakna jumlah itu telah meningkat lebih 21 peratus dalam empat bulan terakhir 2024 dan meningkat sekurang-kurangnya 42.9 peratus berbanding 1,400 pada akhir 2023.
Peningkatan pada 2024 adalah lebih dua kali ganda berbanding 300 yang ditambah pada 2023.
Encik Chee, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata pendirian Singapura yang menyokong perniagaan dan inovasi, menyediakan pelabur dengan satu persekitaran yang stabil dan dikawal dengan baik, yang mana mereka boleh mengambil pendekatan jangka panjang.
“MAS ingin terus bekerjasama rapat dengan sektor itu untuk melihat bagaimana kami boleh berkembang lebih jauh.
“Lebih banyak minat daripada pelabur dijangka untuk menjadikan Singapura sebagai titik tumpuan utama,” katanya.
Bercakap di Forum UBS Asia Wealth, Encik Chee menambah bahawa perkhidmatan kewangan dan pengurusan kekayaan akan kekal sebagai bidang pertumbuhan utama bagi Singapura pada 2025.
Singapura semakin dikenali sebagai salah satu hab utama Asia bagi pejabat keluarga, syarikat milik persendirian yang menguruskan harta keluarga yang amat kaya, atau ‘ultra-rich’.
Selain daripada kestabilan negara ini, pakar mengaitkan pertumbuhan itu – daripada hanya 400 SFO pada 2020 – dengan status Singapura sebagai hab kewangan, serta insentif daripada pemerintah.
Ekonomi Singapura pada 2024 berkembang 4 peratus – kadar yang melebihi jangkaan – naik daripada 1.1 peratus pada 2023.
Anggaran awal daripada Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menunjukkan pertumbuhan daripada industri pengeluar perkhidmatan, termasuk perkhidmatan kewangan, pada 4.1 peratus.
Angka itu lebih tinggi daripada 3.6 peratus daripada sektor pengeluaran barangan.
Namun, pertumbuhan negara ini boleh menjadi sederhana pada 2025, ekoran tarif yang lebih tinggi di bawah bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
“2025 mungkin membawa ketidaktentuan baru disebabkan oleh sifat perdagangan Singapura yang sangat sensitif,” kata Cik Tan Min Lan, ketua Asia Pasifik bagi Pejabat Pelaburan UBS Global Wealth Management.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi Singapura merosot pada 2019 berbanding 2018, semasa perang perdagangan di bawah penggal pertama Encik Trump.
Pada 2019, ekonomi Singapura berkembang sebanyak 0.7 peratus, lebih perlahan daripada 3.4 peratus pada 2018.
Namun, Cik Tan menyatakan bahawa rizab fiskal Singapura yang besar akan dapat mengurangkan kesan pertumbuhan yang perlahan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg