Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bank perkenal langkah perlindungan tambahan cegah penipuan

Dilaksana mulai 15 Okt, ia diaktifkan apabila pelanggan cuba pindah separuh daripada $50,000 simpanan mereka
Oct 3, 2025 | 4:46 PM
Bank, pindah, separuh, $50K
Pelanggan tujuh bank – DBS, OCBC, UOB, Citibank, HSBC, Maybank dan Standard Chartered – boleh menjangkakan lebih banyak urus niaga mereka ditangguh selama 24 jam, atau ditolak serta-merta. - Foto OCBC Bank

Bank utama di Singapura akan melaksanakan langkah perlindungan baru bagi semua urus niaga digital mulai 15 Oktober bagi memperkukuh perlindungan pelanggan terhadap penipuan.

Pelanggan tujuh bank – DBS, OCBC, UOB, Citibank, HSBC, Maybank dan Standard Chartered – boleh menjangkakan lebih banyak urus niaga mereka ditangguh selama 24 jam, atau ditolak serta-merta, kata Persatuan Bank Singapura (ABS) pada 3 Oktober.

Apabila bank mengesan akaun yang berisiko dikosongkan dengan cepat ekoran kemungkinan penipuan, beberapa urus niaga mungkin ditangguhkan selama 24 jam sebelum diluluskan, atau ditolak serta-merta.

Di bawah langkah itu, pelanggan mungkin menghadapi penundaan dalam pembayaran dan pemindahan digital, termasuk untuk urus niaga yang sah.

Justeru, mereka dinasihatkan supaya merancang urus niaga perbankan mereka lebih awal bagi mengelakkan bayaran atau caj akibat kelewatan.

Selain situasi apabila akaun dikosongkan dengan cepat akibat kemungkinan penipuan, bank turut mempunyai parameter pengesanan penipuan lain dan mungkin menahan atau menolak urus niaga berdasarkan faktor risiko lain, menurut ABS.

Pengarah ABS, Cik Ong-Ang Ai Boon, berkata bank-bank secara konsisten melabur dan melaksanakan pelbagai langkah antipenipuan, termasuk pemantauan penipuan dan fungsi ‘Money Lock’.

“Namun, penipuan tetap menjadi masalah dalam masyarakat, dan kaedah yang digunakan oleh penipu terus berkembang dengan lebih rumit.

“Langkah-langkah yang diumumkan pada 3 Oktober akan membantu melindungi mangsa penipuan pancingan data dan menghentikan pengeluaran palsu sebelum terlambat.

“Langkah perlindungan masyarakat ini mungkin menimbulkan sedikit kesulitan dan kami memohon kesabaran serta kefahaman pelanggan,” katanya.

Beliau menambah bahawa pelanggan perlu berhati-hati dengan pautan mencurigakan dalam pesanan ringkas (SMS) dan e-mel, menyemak butiran bank sebelum menghubungi bank, serta tidak berkongsi maklumat peribadi atau nombor akaun mereka.

Akaun semasa dan simpanan, termasuk akaun bersama, dengan baki minimum $50,000 akan dilindungi oleh langkah keselamatan itu.

Langkah perlindungan itu akan berkuat kuasa bagi semua urus niaga perbankan digital melalui aplikasi bank dan perbankan Internet.

Urus niaga perbankan bukan digital, termasuk pengeluaran tunai di cawangan bank dan mesin ATM, tidak akan terjejas, lapor The Straits Times (ST).

Langkah perlindungan tersebut akan berkuat kuasa apabila sesuatu urus niaga, termasuk pengeluaran dalam 24 jam sebelumnya, mengakibatkan lebih 50 peratus baki akaun dipindah keluar.

Urus niaga yang melebihi had itu, berserta semua urus niaga seterusnya daripada akaun tersebut, akan ditangguhkan atau ditolak selama 24 jam.

Tempoh itu memberi masa kepada mangsa membatalkan urus niaga tersebut sekiranya mereka sedar telah ditipu.

Manakala pelanggan yang memerlukan sesuatu urus niaga diproses lebih awal, perlu mengesahkan urus niaga tersebut dengan bank.

Arahan tetap berulang, pembayaran Giro atau eGiro berulang, serta pembayaran bil kepada organisasi yang dikenal pasti oleh bank, dikecualikan daripada langkah perlindungan itu.

Singapura mencatatkan kerugian sebanyak $456.4 juta akibat penipuan dalam separuh pertama 2025, dengan hampir 20,000 kes dilaporkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg